Pusat Khidmat Parlimen Tuaran mempelawa penderma untuk tampung permintaan bantuan

Berikutan permintaan bakul makanan dari penduduk yang terdesak kerana kehilangan sumber pendapatan maka lebih banyak bantuan bakul makanan diperlukan. Oleh itu Pusat Khidmat Parlimen Tuaran telah membuka kounter untuk menerima derma makanan terutama sekali beras daripada orang ramai yang berkemampuan dan berkelebihan.

Semua derma bokeh dihantar di Pusat Khidmat Parlimen Tuaran di Mile 19, Jalan Tuaran, lot 9, Block B, Panjut Plaza, 89200 Tuaran, Sabah. Hubungi, Setiausaha Perhubungan saya En. Andrew Gedion @ 0162028583 .

Untuk makluman, Kawasan Parlimen Tuaran berkeluasan lebih 1,000 kilometer persegi dan mempunyai 120,000 penduduk dengan lebih 17,000 ketua isi keluarga (KIR). Kita juga mempunyai kawasan perumahan yang banyak penduduk seperti Taman Sri Rugading, Taman Telipok Ria, PPR Gayang dan beberapa lagi perumahan.

Oleh kerana senarai yang meminta terlalu banyak sedangkan peruntukan daripada Kerajaan Pusat hanyalah RM300,000. Setelah dibahagikan kepada empat DUN dalam Parlimen Tuaran, iaitu DUN Pantai Dalit, DUN Sulaman, DUN Tamparuli dan DUN Kiulu, maka setiap DUN hanya mendapat RM75,000. Oleh itu kita hanya menyediakan bakul makanan dalam bentuk beras yang boleh membeli lebih kurang 1,800 kampit beras.

Senarai yang diterima daripada sukarelawan jauh lebih banyak daripada kemampuan untuk membekal. Oleh itu senarai itu sedang disemak mengikut garis panduan yang disediakan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat dan seterunya diagih-agihkan.

Untuk menampung keperluan, kita sudah menerima lebih 500 kampit beras dari seorang usahawan yang sudi menderma. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada usahawan tersebut. Bagi pihak penduduk saya mengalu-alukan kepada para dermawan supaya tampil kehadapan untuk menderma.

Kita di Pusat Khidmat Parlimen Tuaran membuat yang terbaik untuk mengawalselia bakul makanan yang didermakan tersebut. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para sukarelawan di Pusat Khidmat Parlimen Tuaran yang membantu saya dalam pelayanan ini.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat diatas keputusan memberi Pusat Khidmat Parlimen Tuaran peruntukan sebanyak RM300,000. Kita sudah mula mengagih-agihkan peruntukan tersebut. Namun oleh kerana peruntukan ini sangat terhad sedangkan yang terdesak memerlukan bantuan maka pihak kita hanya menyediakan beras.