Pusat urut-urut antara yang dibuka 1 haribulan

Kerajaan negeri bersetuju untuk membuka semula perniagaan spa, salun kecantikan, refleksologi, pusat kesihatan (wellness) dan urut kesihatan serta perkhidmatan manikur dan pedikur bermula 1 Oktober ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kebenaran itu melibatkan pekerja dan pelanggan yang lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah.

Menurutnya, premis dan produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, pusat edutainment, ekstrem dan pengembaraan, serta taman rimba turut dibenarkan beroperasi bermula 1 Oktober.

Katanya, semua pengusaha dan pengunjung yang terlibat perlu lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah.

“Pemilik premis perlu memastikan individu yang ingin memasuki premis mesti berstatus risiko rendah COVID-19 dan menunjukkan bukti lengkap vaksinasi.

“Individu boleh membuktikan lengkap divaksin melalui sijil digital vaksinasi COVID 19 melalui aplikasi MySejahtera atau menggunakan kad vaksinasi COVID-19.

“Selain itu, kad peringatan vaksin yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi individu yang tidak memiliki kemudahan telefon pintar atau tiada akaun MySejahtera,” katanya dalam kenyataan di sini semalam. 

Beliau berkata, kerajaan negeri turut bersetuju untuk beralih ke sistem zon sebagai peralihan berkala daripada sekatan rentas daerah kepada rentas zon bermula 1 Oktober ini.

Menurutnya, kebenaran itu dengan syarat kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa negeri ini mencapai 60 peratus dan setiap daerah dalam setiap zon juga mencapai nilai ambang 60 peratus penduduk dewasa yang lengkap divaksin.

Katanya, mana-mana daerah dalam zon yang belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap divaksinasi dengan sendirinya terasing daripada zon sehingga mencapai nilai ambang 60 peratus kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa bagi daerah berkenaan dan kekal dengan status ‘stand alone district’. – Utusan Borneo