Rakyat pelbagai kaum meriahkan sambutan Aidilfitri kerajaan negeri

KOTA KINABALU: Ribuan rakyat pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Sabtu.

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin serta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag.

Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan asnaf daripada sembilan institusi
kebajikan sekitar kawasan pantai barat.

Dalam ucapan ringkas kepada tetamu, Hajiji mengajak rakyat berbilang kaum menggunakan sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai platform untuk mengeratkan lagi perpaduan dan persefahaman.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya; Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Ir Shahelmey Yahya serta menteri Kabinet negeri.

Majlis yang dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung itu turut diserikan dengan persembahan tarian dan nyanyian.

Tetamu yang hadir disajikan dengan pelbagai juadah Hari Raya termasuk hidangan tradisi lemang, ketupat dan sate serta pelbagai jenis kuih-muih. – Info X