Rakyat perlu dididik guna kuasa undi di tangan

Datin Faizah Ariffin

KOTA KINABALU, 26 Mac – Rakyat yang kurang dididik menggunakan kuasa undi di tangan mereka merupakan salah satu punca kekalahan Pakatan Harapan dalam siri Pilihan Raya Negeri, termasuk di Johor pada 12 Mac lalu.

Menurut Naib Ketua Wanita KEADILAN Malaysia, Datin Faizah Ariffin, ianya menjadi tugas Wanita KEADILAN untuk mendidik rakyat, khususnya kaum wanita dan ibu agar celik menggunakan kuasa undi mereka dalam Pilihan Raya (PRU) Umum ke-15 dan bijak memilih kerajaan yang betul.

“Wanita ini ada anak-anak dan kita tahu betapa sukar seorang ibu perlu menghidangkan makanan di atas meja apabila anak-anak pulang dari sekolah.

“Jika mereka bosan dengan politik atau tidak mahu ambil tahu maka selamanya mereka akan berasa kesukaran untuk menyediakan makanan cukup gizi buat anak-anak di rumah.

“Sebelum pandemik Covid-19 pun rakyat banyak dalam kategori B40 atau miskin. Bila berlakunya pandemik ramai pula kena buang kerja, cuti tanpa gaji dan sebagainya. Tentulah pendapatan mereka terkesan. Bagaimana ibu-ibu mahu menyediakan nutrisi yang baik untuk anak-anak mereka.

“Ibu yang ada 2 – 3 orang tentu mengalami kesukaran memberi makanan kepada anak-anak mereka,” katanya.

Faizah yang juga penaung kepada beberapa persatuan ibu tunggal itu berkata, kenaikan kos hidup turut menyebabkan kehidupan wanita dan ibu tunggal menjadi lebih menderita.

Namun katanya, kerajaan pusat sebaliknya gagal memperkenalkan skim bantuan yang berpatutan untuk rakyat dalam kategori berkenaan biarpun banyak daripada ibu tunggal itu sukar untuk bekerja tetap.

“Kalau ibu tunggal lebih muda, sekitar 30 – 40an maka akan ada masalah untuk meninggalkan anak-anak. Kalau muda sikit tidak ada anak boleh bekerja waktu pejabat. Golongan 30an memang mereka memerlukan satu inisatif kerajaan untuk membantu mereka. Di Selangor banyak inisiatif bagi golongan sebegini. Misalnya tidak boleh kerja luar maka boleh berniaga kecil dan kerajaan negeri bantu beri pinjaman modal, bolehlah berniaga online.

“Kerajaan pusat pula bagaimana? Saya tidak nampak ada kesungguhan bantu golongan ini. Waktu Dr Wan Azizah (sebagai menteri wanita) dulu kita nampak skim i-suri. Tetapi ia baru diperkenalkan dan PH tumbang. Itulah saya mohon sangat rakyat kembali kepada fitrah (memikirkan politik yang terbaik),” katanya.

Selain itu, 5 juta pengundi muda juga akan mula menunaikan tanggungjawab di peti undi dalam PRU15.

“Setelah Undi 18 diluluskan, ini (kos sara hidup) perlu dilihat oleh anak muda sebelum mereka membuat pilihan. Anak muda umur 18 apa yang mereka tahu? Siapa yang mereka nak pilih? Di sekolah tidak ada pendidikan politik secara formal. Tetapi 5 juta ini akan mengambil bahagian dalam PRU akan datang,” katanya.

Menurutnya, semasa zaman Pakatan Harapan memerintah selama 22 bulan, Kos sara hidup tidaklah melambung naik seperti sekarang.

“Kita tengok waktu itu ayam paling tinggi RM6.20 sekilo. Kita lihat bulan Ramadan, hari raya dan sebagainya tidak melebihi RM6.50 kerana dikawal oleh kementerian yang bertanggungjawab. Begitu juga telur, daging, sayur dan semua keperluan lain termasuk minyak masak,” katanya.

Sehubungan itu, Faizah menegaskan bahawa inisiatif mendidik mereka (rakyat) supaya tidak tersalah pilih dalam PRU adalah salah satu peranan yang perlu diambil sebagai sebuah parti politik.