Rakyat Sabah harus sedar retorik politik GRS mengenai isu PATI: Warisan

KOTA KINABALU, 27 April — Rakyat Sabah harus membuka mata melihat retorik politik mainan GRS selama ini terutamanya mengenai ketelusan mereka menyelesaikan isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan dan aktivis Masih Warisan (MaWar) turut mempersoalkan tindakan GRS yang menolak Pas Sementara Sabah (PSS) sebelum ini dan bersetuju dengan Kad Warga Asing sedangkan kedua-dua dokumen itu mempunyai fungsi yang sama.

“Rakyat Sabah harus membuka mata sebesar mungkin untuk melihat retorik politik mainan GRS selama ini merupakan satu bentuk penipuan secara halus agar mereka boleh menewaskan Warisan Plus semasa PRN lalu.

“Kalau pengundi GRS menolak PSS apa rasionalnya mereka perlu bersetuju dengan Kad Warga Asing sedangkan kedua-dua dokumen ini mempunyai fungsi yang sama?,” jelas kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, respon negatif daripada parti-parti komponen GRS berkenaan cadangan Kad Warga Asing Sabah telah menimbulkan tanda tanya tentang ketelusan mereka dalam menyelesaikan isu PATI di Sabah.

“Cadangan pemberian Kad ini yang dibantah oleh Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Joniston Bangkuai, memberi gambaran bahawa mereka seakan tidak mengetahui isu ini dari awal.

“Mana mungkin perkara penting seperti ini yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, DS Hamzah Zainuddin selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah (JPKWAS – INDUK) bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tidak diketahui oleh parti komponen GRS terlebih dahulu?,” soal kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, apa yang mengejutkan ialah Hajiji membuat kenyataan media bahawa cadangan Kad Warga Asing ini sebenarnya belum diputuskan oleh kerajaan negeri Sabah sedangkan Hamzah telahpun mengatakan bahawa kad ini adalah cadangan daripada kerajaan negeri Sabah.

“Adakah kenyataan Hajiji ini satu tindakan ‘Damage Control’ selepas isu kad ini menjadi kontroversi dengan mendapat bantahan daripada parti-parti pembangkang, majoriti rakyat Sabah selain parti komponen GRS sendiri?

“Apa rasionalnya Hajiji mencadang perkara sensitif sebegini tanpa mendapat persetujuan secara konsensus daripada semua stakeholders terutama menteri kabinet kerajaan negeri dan parti-parti komponen dalam GRS sendiri? Kata kenyatan itu lagi.

Mereka menyatakan, konsep dan fungsi Kad Warga Asing ini sama seperti Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan oleh Presiden PPBM merangkap Pengerusi Perikatan Nasional, TS Muhyiddin Yassin ketika mengalas tugas sebagai Menteri Dalam Negeri pada tahun 2019.

Kenyataan media tersebut dikeluarkan bersama Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan yang juga Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan, Adun Tanjung Kapor merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Warisan Ben Chong dan Aktivis Pergerakan Masih Warisan (MaWar) Mathew Yong.

Sumber: Nabalu News