Rakyat sambut baik jaminan PH, kebebasan laksana tuntutan kepercayaan masing-masing

KIULU: Jaminan setiap rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini melaksanakan tuntutan kepercayaan masing-masing sekiranya Pakatan Harapan (PH) memerintah mendapat reaksi positif dalam kalangan masyarakat.

Peris Gonsingul, 61, berkata, sebagai penganut Kristian Seventh-Day (SDA), beliau menyambut baik akan tawaran tersebut yang disifatkannya amat bertepatan dan menggambarkan pematuhan tahap tertinggi terhadap Prinsip Rukun Negara.

“Untuk makluman, bagi penganut gereja SDA, kita menguduskan hari Sabat iaitu bermula dari terbenam matahari pada Jumaat hingga terbenam matahari pada hari Sabtu dengan aktiviti-aktiviti kerohanian serta melakukan aktiviti kebajikan.

“Sebelum ini, banyak aktiviti seperti peperiksaan di sekolah juga jatuh pada hari Sabtu menyebabkan ramai kalangan pelajar SDA tidak hadir dan gagal dalam peperiksaan.

“Sedangkan prinsip Rukun Negara yang pertama jelas menyatakan tentang Prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan. Dengan adanya dasar-dasar yang mesra kepada masyarakat majmuk di negara ini, sudah pasti ia mengukuhkan lagi kemakmuran dan kesejahteraan terutama dalam hal-hal menunaikan tuntutan agama masing-masing,” katanya.

Bagi Jafiah Abdul Fasa, 37, beliau menyokong penuh terhadap tawaran PH itu yang disifatkan perlu dilaksankan secara menyeluruh di negara ini.

“Saya sebagai penganut agama Islam sangat bersetuju agar program-program pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad diteliti semula kerana inilah waktu untuk bukan sahaja Muslim tetapi rakan-rakan dari agama lain beribadah.

“Sudah tentu perpaduan dan keharmonian itu bermula daripada keutuhan pegangan agama masing-masing. Kemudian ia akan diaplikasi dalam kehidupan seharian.

“Maka itulah, ketiga-tiga hari ini penting untuk seluruh rakyat Malaysia menunaikan kewajiban masing-masing tanpa dibebani oleh perkara-perkara yang boleh dilakukan pada hari-hari yang lain,” jelasnya yang berasal dari Kota Belud.

Henrietta Naning ,41, turut senada dengan Peris dan Jafiah.

Beliau yang beragama Roman Chatolic memaklumkan, tawaran itu membolehkan setiap ibu bapa menerapkan ajaran agama secara berfokus kepada anak-anak kecil sejak di peringkat awal usia.

“Macam kami yang pergi ke gereja pada hari Ahad, ini adalah perkara yang sangat bertepatan untuk diketengahkan.

“Ia bukan sahaja menjadi teladan yang baik kepada anak-anak tetapi juga setiap penganut agama RC dan Kristian dari dominasi yang lain untuk menunaikan tanggungjawab kerohanian pada setiap Ahad sekali gus menyemarakkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

Untuk rekod, Presiden UPKO merangkap calon PH P170 Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau baru-baru ini menyatakan PH memberi jaminan setiap kaum dan agama boleh menunaikan tanggungjawab kerohanian mengikut tuntutan agama masing-masing tanpa sebarang halangan.

Ia termasuklah hal ehwal seperti penamaan calon yang tidak lagi akan diadakan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Sebelum ini, perjuangan Madius di Sidang Dewan Parlimen turut membawa kepada penjadualan semula Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sehingga ujian yang diadakan pada Sabtu dipindah ke hari lain bagi memberi laluan kepada penganut SDA menunaikan tanggungjawab kerohanian.

Dasar baharu terhadap jadual peperiksaan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) juga telah menetapkan agar peperiksaan hanya dilaksanakan pada hari Isnin – Khamis bagi membolehkan para pelajar menjalankan tanggungjawab keagamaan masing-masing pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.