Ramon sah tinggalkan Sabah FC

KOTA KINABALU: Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid, mengesahkan penamatan kontrak penyerang import Sang Badak, Ramon Machado.

Menerusi satu kenyataan petang ini, Mohd Joh mengucapkan terima kasih kepada pemain kelahiran Brazil itu atas penampilannya bersama Sabah FC selama ini.

“Dengan berat hati secara rasminya saya memaklumkan bahawa pemain penyerang Ramon Machado akan menamatkan kontrak bersama Sabah FC.

“Bagi pihak kelab dan seluruh warga Sabah FC, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ramon atas sumbangan beliau terhadap pasukan yang kita cintai ini.

“Sejak penampilan pertama beliau, Ramon telah berjaya menambat hati penyokong The Rhinos dengan jaringan-jaringan cantik dan ‘assist’ beliau.

“Sudah pasti kita akan merindui gerakan pantas dan lincah pemain asal Brazil ini di padang, terutamanya gelanggang keramat Stadium Likas,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata perjuangan Sabah FC perlu diteruskan walaupun tanpa Ramon bersama pasukan selepas ini.

“Bola sepak adalah sukan berpasukan. Saya menaruh penuh keyakinan kepada semua pemain yang ada untuk terus menggalas tugas membawa cabaran seterusnya.

“Terus beri sokongan padu dan semoga pasukan kita berjaya mencapai sasaran yang telah kita tetapkan.

“Semoga Ramon dan keluarga selamat kembali ke kampung halaman bersama kenangan indah sepanjang berada di Bumi di Bawah Bayu dan terus maju jaya pada masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, khabar angin mengatakan Ramon bakal meninggalkan Sabah FC selepas perlawanan kedua suku akhir Piala FA menentang Terengganu FC di Stadium Likas, malam esok. – Info X