Rasional Kenaikan Gaji Anggota Pentadbiran Dan Wakil Rakyat

Oleh Dr Jakaria Dasan

Timbul tiga kumpulan berhubung dengan isu kenaikan gaji anggota pentadbiran dan wakil rakyat di negeri Sabah baru-baru ini. Kumpulan pertama adalah kumpulan yang tidak bersetuju akan kenaikan yang berlaku. Kumpulan kedua pula adalah kumpulan yang berkecuali. Manakala, kumpulan ketiga adalah kumpulan yang bersetuju. Kumpulan pertama mungkin mempunyai jumlah yang ramai mengambilkira isu rakyat mula kendengaran apabila gendang pilihan raya sudah pun sayup-sayup kedengaran. Kumpulan ini biasanya adalah kelompok populis dan dengan penuh retorik akan membuat pernyataan yang melihatkan keprihatinan mereka kepada nasib hidup rakyat.

Maka, sudah tentulah, kumpulan ini ramai pengikutnya. Kumpulan yang berkecuali diletakkan di tangga kedua kerana mereka lebih ramai dari kumpulan ketiga yakni kumpulan yang bersetuju. Kumpulan kedua ini adalah kumpulan yang tidak terancam dengan apa yang berlaku. Mereka juga adalah dalam kalangan kelompok naturalis, yang tidak endah memberi pendapat memandangkan isu itu tidak melibatkan kehidupan mereka secara langsung. Kumpulan ketiga adalah kumpulan yang bersetuju. Jika saya ditanya, maka saya adalah dalam kumpulan ketiga ini, kelompok rasionalis. Ini adalah berdasarkan kepada pengalaman saya yang lalu sewaktu berkhidmat kepada anggota pentadbiran negeri Sabah. Selain itu, sandaran fakta juga menyebabkan saya meletakkan diri saya dalam kumpulan ketiga. Berikut adalah rasional saya;

Kawasan negeri Sabah yang luas (74000 km persegi). Perbandingan keluasan negeri-negeri di Malaysia jelas menunjukkan bahawa beban kos yang ditanggung oleh seorang wakil rakyat di Sarawak dan Sabah adalah sangat tinggi berbanding dengan keluasan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Wakil rakyat atau Ahli Yang Berhormat (YB) yang prihatin akan sering melakukan lawatan ke kawasan dan tidak mustahil lawatan berulang dilakukan atas permintaan rakyat yang diwakili. Kadangkala, jemputan datang ketika YB mempunyai pelbagai jemputan serentak. Untuk tidak menghampakan jemputan tersebut maka YB akan menghantar wakil-wakilnya beserta bantuan ikhlas seadanya. Kawasan yang dilawat termasuklah kampung-kampung yang letaknya berjauhan antara satu sama lain. Selain berkejar masa, YB atau wakil juga menempuh perjalanan yang memenatkan disebabkan oleh bentuk muka bumi yang tidak kondusif.

Infrastruktur pengangkutan yang masih daif di kebanyakkan tempat. Susulan daripada itu, kos penjagaan dan pembaikan kenderaan menjadi tidak terkawal. Selain harga minyak yang meningkat dan peralatan kenderaan dan pelbagai yang lain juga memerlukan bajet kewangan yang banyak.

Kos barangan yang lebih tinggi berbanding di Semenanjung. Selain bantuan kewangan, bantuan yang dihulurkan juga adalah dalam bentuk barangan. Wujud perbezaan harga yang ketara di Semenanjung dan di Sabah. Akibatnya, YB Sabah berbelanja lebih dari rakan sejawatan di Semenanjung. Sungguh menarik, hasil dari Sabah diproses di Semenanjung dan dijual di Sabah dengan kadar yang lebih mahal. Mungkin banyak rasional lain yang menyokong hal ini. Wallahualam.

Masyarakat di Sabah terdiri dari pelbagai etnik yang menyambut pelbagai jenis perayaan dan acara melibatkan adat. Menyantuni adat, budaya dan agama masyarakat yang pelbagai di Sabah ini adalah salah satu daripada aktiviti wajib YB. Inilah yang selalunya dihadiri oleh kebanyakkan YB di Sabah dan Sarawak, khasnya. Justeru, bila dijemput ke acara keramaian memuliakan adat dan perayaan, YB kena turun padang. 

Penyanyi N.D. Lala dengan lagu Diari YB cukup tepat menggambarkan deskripsi tugas seorang YB yang berjiwa rakyat… Untuk menaikkan pendapatan hidup rakyat, gaji YB juga perlu diperjuangkan sama agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.

Bangun pagi-pagi
Tamu dah menanti
Bukan nak cari kopi
Nak tanya pasal subsidi
Hai belum sempat sarapan
Dah ada pula panggilan
Kaum kerabat orang kanan
Nak minta surat sokongan
Jam baru pukul 8
YB kena lawat kawasan
Tapi di tengah jalan
Pengundi tahan minta bantuan
Disambut dengan kompang
Ayam itik pun banyaklah tumbang
Kemudian ditunjuk jalan berlubang
Disuruh YB segera timbang
Hey, yah
Pada waktu tengahari
Ada pula jemputan kenduri
Kalau YB tak pergi
Silap-silap nanti kurang undi
Hai dalam sibuk-sibuk
Orang sakit YB jenguk
Hai teruk ke tak teruk
Poket tetap YB kena seluk
Ketika awal petang
Ada satu sidang
YB tak boleh tak datang
Takut nanti kerusi terbang
Sebelum senja ke padang bola
YB dijemput sampaikan piala
Sambil tu mereka bertanya
Jersi baru kami, hai macam mana?
Hey, yah
Bila malam tiba
Ceramah jadi agenda
Kalau YB tak bersedia
Kena tanya mungkin ternganga
Bila habis berceramah
Kampung lain YB singgah
Bukan sekadar menjengah
Tapi nak tinjau masalah
Walau dah lenguh badan
YB balik ke cawangan
Ditanya orang harapan
Apakah strategi lawan
Lewat malam digerai tepi jalan

YB berembun melayan kawan-kawan
Dengar pendapat dengar pandangan
Sambil itu kenalah belanja makan
Sewaktu YB balik
Burung hantu pun rasa pelik
Isteri sendiri dan tak larat celik
Anak-anak pun dah lama tergolek
Selepas YB mandi YB belek itu dan ini
Kemudian picit-picit jari sendiri
Cari jalan nak tolong pengundi
Hingga dinihari YB tak tidur lagi
Esok pagi-pagi dah ada tamu menanti
Assalamualaikum YB
  DIARI YB N.D. Lala