KOTA KINABALU: Seorang daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang dijangka didakwa atas kes rasuah dikaitkan dengan isu pengeluaran lesen cari gali mineral di negeri ini dipercayai anggota jemaah Kabinet negeri.
Menurut sumber, ADUN terbabit dijangka dipanggil untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, di sini, pada minggu depan.
Pemimpin terbabit yang dipercayai bergelar Pembantu Menteri adalah antara tiga individu yang dijangka didakwa atas kes berkenaan pada akhir bulan ini.
Pada Rabu lalu, dua individu bergelar datuk ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali.
Suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 60-an itu masing-masing ditahan ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Sabah, di sini dan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Seorang adalah ahli perniagaan, manakala seorang lagi bergelar ADUN.
Mereka dipercayai melakukan perbuatan rasuah itu antara 2023 dan 2024, dengan disyaki saling meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000 bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali.
Tangkapan yang dibuat mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009 itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Kedua-duanya bagaimanapun dibebaskan, masing-masing dengan jaminan SPRM dan dijangka didakwa pada akhir bulan ini.
ADUN terbabit dipercayai dari Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, manakala individu awam ialah pemberi maklumat yang dikaitkan dengan penyebaran video sebelum ini, dikenali sebagai Albert.
Dr Yusof Yacob dipercayai dipanggil memberi keterangan selama kira-kira empat jam pada Rabu lalu. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad