Rebat 30 peratus jika langsai pinjaman pengajian Yayasan Sabah

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah menawarkan Insentif Rebat Madani kepada peminjam pinjaman pengajian Yayasan Sabah bermula April hingga Jun 2025.

Menerusi inisiatif itu, peminjam pengajian boleh melunaskan baki pinjaman mereka secara sekali gus untuk menikmati rebat sebanyak 30 peratus daripada jumlah baki pinjaman.

Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Gulamhaidar Khan Bahadar, berkata program itu diperkenalkan sebagai tanda keprihatinan Kumpulan Yayasan Sabah dalam meringankan beban peminjam serta menggalakkan penyelesaian pinjaman secara penuh.

Katanya, ia juga sebagai penghargaan kepada peminjam yang konsisten membuat bayaran sehingga membolehkan Kumpulan Yayasan Sabah mencatat kutipan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM6.6 juta setahun bagi dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024.

“Seperti kaedah sedia ada, pembayaran boleh dibuat melalui Maybank2u bagi pelanggan Maybank serta JomPAY dan perkhidmatan telegraf bagi bank lain.

“Kumpulan Yayasan Sabah turut menyediakan alternatif lain seperti Arahan Tetap Bank, draf bank, cek, pembayaran tunai atau Kad Debit di kaunter di Menara Tun Mustapha, Teluk Likas, selain di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu,” katanya.

Dalam pada itu, Ghulam berkata, dalam usaha meningkatkan kemudahan kepada peminjam, Kumpulan Yayasan Sabah turut melancarkan Portal Pembayaran Balik Pinjaman bermula Mac 2025.

Portal itu katanya berfungsi sebagai platform maklumat bagi peminjam yang telah menamatkan pengajian, menawarkan akses kepada maklumat pembayaran, insentif rebat, polisi pinjaman, soalan lazim, serta saluran perhubungan dengan Kumpulan Yayasan Sabah.

Jelasnya, portal itu boleh diakses di https://www.yayasansabahgroup.org.my/bppp/index.html.

Selain itu, katanya orang ramai juga boleh melayari Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, atau menghubungi talian 011-33181088 / emel bayaranbalikpengajian@ysnet.org.my untuk keterangan lanjut. – Info X