Remaja dikhuatiri lemas jatuh bot

KUDAT: Seorang remaja dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika menangkap ikan di perairan Tanjung Malawali, di sini, hari ini.

Mangsa Aldrian Abdul Hatam, 19, disedari hilang oleh juragan bot di kedudukan 2.55 batu nautika utara Pulau Malawali.

Juragan bot kemudian melakukan pencarian di sekitar kawasan berkenaan namun gagal menemui mangsa.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan orang dikhuatiri hilang di laut daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), 4.52 petang.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat tiga di jeti untuk mendapatkan maklumat.

“Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pulau Bangi telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pesisir pantai.

“Mangsa belum ditemui dan SAR ditangguhkan pada 7.30 malam tadi dan akan disambung semula pada esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Operasi SAR turut disertai APMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – Info X