RM1 JUTA TANGANI KESESAKAN JALAN

Oleh Wartawan BS
12 Februari 2020

SANDAKAN: Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM1 juta untuk menaik taraf simpang Jalan Sibuga dan Jalan Utara, serta laluan masuk dan keluar di beberapa bandar satelit di sini.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, berkata ia merangkumi RM550,000 untuk menaik taraf simpang Jalan Sibuga dan Jalan Utara berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) St Monica, manakala RM450,000 lagi untuk laluan masuk dan keluar di Bandar Prima, Bandar Letat dan Bandar Indah.

Katanya, peruntukan itu diluluskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan projek dijangka bermula tahun ini.

“Projek menaik taraf simpang Jalan Sibuga dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR). Ia meliputi kerja melebarkan bulatan trafik di hadapan persimpangan SK St Monica, pemasangan lampu isyarat dan penyediaan empat lorong,” katanya selepas melakukan pemeriksaan tapak bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Vivian berkata, pemaju perumahan IJM juga akan bekerjasama dengan kerajaan dan menyumbang dalam projek pembinaan lencongan jalan, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan khususnya pada waktu puncak.

Katanya, kerajaan juga akan mengkaji keperluan membina jalan baharu di beberapa kawasan perniagaan utama seperti Prima Square, Bandar Indah dan Bandar Letat.

“Pihak bertanggungjawab akan selidik sama ada keperluan menambah laluan masuk dan keluar yang baharu di Prima Square, Bandar Indah dan Letat dalam masa terdekat.

“Kita akan lihat sama ada langkah ini dapat menangani kesesakan trafik antara kawasan komersial ini dan memberi manfaat kepada perniagaan dan penduduk setempat,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Pembangunan Negeri (SDO), Datuk Ruji Ubi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *