Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini menahan seorang lelaki dan merampas rokok pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM4.11 juta yang ditemukan dalam empat lori di Jalan Segama di Lahad Datu, dua hari lepas.
Komander PGA Sabah SAC Mohd Abduh Ismail berkata pasukan PGA membuat serbuan pada pukul 1.30 tengah hari selepas mendapat maklumat mengenai pemunggahan rokok seludup di kawasan berkenaan, dan kemudiannya menemukan 29,337 karton rokok seludup pelbagai jenama di dalam empat lori di halaman sebuah rumah.
“Ketika serbuan seorang lelaki berusia 33 tahun yang mengaku sebagai pekerja stor ditahan, manakala tiga suspek lagi melarikan diri melalui kawasan belakang rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu pada hari sama di Tawau, beliau berkata PGA menahan seorang lelaki berumur 39 tahun, dan merampas 193 kotak mengandungi rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM1.04 juta yang ditemukan di dalam lori tangki yang dipandunya.
“Kita menerima maklumat pada pukul 12.15 tengah malam dan menjalankan risikan di kawasan Batu 13. Hasil pemerhatian, sebuah lori tangki jenis Nissan dikesan, dan anggota bertugas mengekori lori itu sebelum mengarahkan pemandu lori berhenti untuk diperiksa,” katanya.
Mohd Abduh berkata hasil pemeriksaan, 193 kotak rokok seludup bernilai lebih RM1 juta ditemukan di dalam tangki lori berkenaan dan menurutnya semua tangkapan serta rampasan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ