Sabah sebagai Pusat Pencegahan Penyakit Iklim Tropika dan Pusat Rehabilitasi Pilihan Serantau

KOTA KINABALU: Sabah berupaya untuk memainkan peranan sebagai pusat penyelidikan yang mengkhusus kepada penyakit iklim tropika di rantau ini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor berkata, UMS melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), serta Hospital UMS (HUMS) mempunyai kemampuan sebagai pusat rujukan berkaitan penyakit tropika sekali gus membantu dalam menangani masalah berkaitan penyakit-penyakit tersebut di negeri ini.

“Umum mengetahui bahawa Sabah terkenal dengan penyakit tropika termasuk malaria, tuberkulosis dan leptospirosis, justeru dengan sumber pakar perubatan dan penyelidik klinikal yang berpengalaman luas dalam bidang perubatan tropika, UMS mampu menyumbang kepada penyelidikan penyakit ini secara khusus.

“Terdapat makmal khusus dalam UMS termasuk di FPSK yang menjalankan kerja penyelidikan dalam bidang penyakit tropika.

“Kemudahan penyelidikan ini tidak tersedia di organisasi lain tetapi keperluan tinggi untuk mengkaji penyakit-penyakit ini telah meletakkan UMS sebagai institusi yang mampu menjuarai bidang tersebut di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis bersama para kakitangan FPSK dan HUMS di Auditorium FPSK, UMS.

Menurut Kasim, terdapat tiga faktor yang memungkin usaha UMS sebagai pusat penyelidikan berkaitan penyakit tropika, iaitu wujudnya kawasan kajian yang luas untuk mendalami lagi penyakit bawaan nyamuk, sumber pakar perubatan FPSK yang menjalankan perkhidmatan klinikal di hospital, dan fasiliti di Hospital UMS yang mencukupi untuk memastikan projek kesihatan ini dapat dilakukan.

“Kita yakin bahawa apabila kelebihan doktor-doktor pakar ini dapat digemblengkan dengan lebih baik, ditambah pula dengan peralatan dan fasiliti yang lengkap di Hospital UMS, maka tidak mustahil untuk UMS menjadi sebagai salah satu watak penting dalam pembangunan kesihatan orang ramai,” kata Kasim.

Dalam pada itu, Kasim turut menyentuh peranan Pusat Rawatan Rehabilitasi yang terdapat di HUMS dalam pertemuan tersebut.

Menurut beliau, pusat yang dilengkapi dengan body-weight supported gait trainer, transcranial direct current stimulation, terapi pemulihan tangan yang berteknologi tinggi di samping pemberian penjagaan pemulihan standard yang berkualiti tinggi ini telah telah menerima ratusan pesakit walaupun baru dibuka kurang daripada 10 bulan.

“Para pesakit yang hadir termasuk warga pencarum PERKESO yang mengalami masalah kurang upaya di mana UMS dan agensi tersebut telah memeterai MoU baru-baru ini.

“Ini sedikit sebanyak membantu menampung keperluan penduduk di negeri ini kerana Sabah kekurangan pusat pemulihan yang dilengkapi dengan peranti terapeutik dan ahli perubatan serta kesihatan pelbagai disiplin yang komprehensif.

“Ini termasuklah pakar perubatan rehabilitasi, ahli fisioterapi, ahli terapi cara kerja, ahli terapi pertuturan dan bahasa, serta jururawat pemulihan, sekali gus menghadkan bilangan rakyat Sabah untuk menikmati penjagaan pemulihan yang berkualiti,” kata Kasim

Beliau turut yakin bahawa dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh para doktor dan pakar perubatan di FPSK dan HUMS, usaha meningkatkan kedudukan UMS sebagai salah sebuah pusat rujukan mengenai penyakit tropika dan juga pusat pemulihan rehabilitasi terkemuka mampu direalisasikan.

Pada majlis tersebut, Kasim turut dibawa melawat Pusat Rawatan Rehabilitasi HUMS yang terletak di bangunan FPSK, serta diberikan taklimat ringkas mengenai beberapa kolaborasi yang telah dijalin oleh Pusat Rawatan Rehabilitasi HUMS yang telah disampaikan oleh Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Penyelidikan FPSK, Prof. Madya Dr Fatimah Ahmedy yang juga merupakan pakar perubatan rehabilitasi.

Sambutan majlis lawatan muhibah Kasim diketuai Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree dan Pengarah HUMS, Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang