SABAH WAJAR DAPAT PERUNTUKAN LEBIH

KUALA LUMPUR: Sabah harus mendapat peruntukan yang lebih berpadanan dalam Belanjawan 2021 kerana jumlah miskin tegar yang ramai walaupun negeri ini kaya dengan pelbagai sumber.

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan- Semporna) berkata, kelebihan Sabah dan Sarawak yang mempunyai keluasan, kesuburan tanah dan sumber alam semula jadi harus dimanfaatkan bagi memastikan negara terus membangun selain mampu bersaing dengan negara di rantau Asia serta dunia.

“Daripada keseluruhan peruntukan RM322.5 bilion dalam Belanjawan 2021, Sabah hanya memperoleh RM5 billion atau RM9 bilion dan perkara itu harus dipandang serius agar pembangunan seluruh negara lebih seimbang,” katanya.

Tambahnya lagi , rantaian sistem pengangkutan di Semenanjung adalah jauh lebih baik berbanding Sabah dan Sarawak yang masih jauh ketinggalan.

“Saya mencadangkan agar pengendali bas mini di kawasan pedalaman atau kampung dibantu dengan menyewakan dan menjadikan bas mini sebagai sistem pengangkutan sementara bagi membawa pesakit luar bandar ke hospital yang sedikit-sebanyak membantu menjana pendapatan pengusaha terlibat,” ujar Shafie.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.