KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan penutupan Padang Ragbi Tanjung Aru, di sini, disebabkan jangkitan penyakit melioidosis, seperti tular di media sosial.
Menerusi satu kenyataan, Pengarah JKNS, Datuk Dr Asits Sanna, berkata langkah pencegahan itu berikutan satu kes penyakit melioidosis dikesan di lokaliti itu pada 11 Mac lalu.
Katanya, sampel tanah telah diambil di lokaliti berkenaan berdasarkan pergerakan kes yang pernah bermain ragbi di padang terbabit.
“Satu sampel didapati positif dengan bakteria Burkholderia pseudomallei iaitu agen penyebab kepada penyakit melioidosis.
“Pesakit telah memberikan sejarah mengalami luka di bahagian kaki semasa bermain ragbi yang mungkin menyebabkan jangkitan kepada beliau,” katanya.
Dr Asits berkata melioidosis adalah sejenis penyakit disebabkan jangkitan bakteria Burkholderia pseudomallei yang terdapat di permukaan air dan tanah.
Katanya, manusia boleh dijangkiti penyakit itu apabila terdedah secara langsung kepada tanah dan sumber air yang tercemar dengan bakteria berkenaan.
“Jangkitan sering berlaku terutamanya sewaktu musim hujan. Transmisi jangkitan boleh berlaku melalui saluran pernafasan (debu atau titisan air yang tercemar), terminum air yang tercemar atau melalui luka di kulit.
“Golongan yang berisiko tinggi adalah mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit hati, sakit buah pinggang, talasemia, kanser atau lain-lain keadaan daya tahan (imuniti) badan yang rendah,” katanya.
Sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-14 tahun 2024, katanya sebanyak 44 kes melioidosis didaftarkan di seluruh negeri Sabah, menunjukkan peningkatan sebanyak 12.8 peratus berbanding 39 kes yang dilaporkan pada ME yang sama tahun lalu.
Katanya, sebanyak enam daerah tertinggi melaporkan kes melioidosis ialah Sandakan (12), Kota Kinabalu (11), Papar (5), Penampang (5), dan masing-masing dua kes di Sipitang serta Keningau.
“Antara gejala yang mungkin dialami adalah seperti demam yang tinggi, sakit sendi, batuk, sakit dada, kudis, bisul, nanah, sakit kepala, tiada selera makan, dan rasa lesu seluruh badan.
“Penyakit ini boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik tertentu. Rawatan awal dengan antibiotik adalah perlu bagi mengelakkan pesakit, terutama golongan berisiko tinggi, daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk dan mengelakkan daripada kematian.
“JKNS ingin menasihatkan orang ramai untuk mengelak terdedah kepada tanah dan sumber air yang tercemar terutama mereka yang mempunyai luka pada permukaan kulit serta mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan sakit buah pinggang.
“Langkah- langkah kawalan lain adalah penggunaan kasut kalis air, sarung tangan, dan pelitup muka bagi mereka yang terlibat dengan kerja-kerja yang terdedah kepada sumber tanah dan air tercemar.
“Jika terdapat sebarang luka pada anggota badan, cuci dan balut luka dengan sempurna. Segera dapatkan rawatan sekiranya demam atau mengalami gejala selepas terdedah kepada tanah atau air tercemar,” katanya.
Beliau berkata JKNS sentiasa memantau penularan penyakit melioidosis dan meningkatkan aktiviti promosi kesihatan kepada masyarakat berkaitan langkah kawalan dan pencegahan. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad