SAIDI 100 minit menjelang 2030 –Sabah Electricity

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd yang dijenamakan semula sebagai Sabah Electricity, semalam, menetapkan sasaran untuk mengurangkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) kepada 100 minit menjelang 2030.

Pengerusinya, Datuk Seri Madius Tangau, berkata ketika ini kadar SAIDI yang dialami pengguna di Sabah dan Labuan masih pada tahap 220 minit.

Jelasnya, kadar SAIDI di Sabah sudah menunjukkan penurunan yang besar berbanding 1,000 minit bagi setiap pengguna pada 2012, namun usaha berterusan perlu bagi menurunkan lagi kadar SAIDI sedia ada.

“Semakin berkurang angka SAIDI bermaksud bekalan elektrik itu adalah semakin baik dan stabil dan sebenarnya beberapa kawasan juga mencatat kadar SAIDI yang lebih baik pada kadar dua digit setanding dengan kestabilan elektrik di Semenanjung.

“Sebagai contoh, Kota Kinabatangan mencatat SAIDI 53.23 minit, Kunak (30.17 minit), dan Lahad Datu (42.77 minit). Malah di beberapa kawasan seperti Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) merekodkan SAIDI satu digit iaitu di bawah 10 minit,” katanya pada Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula SESB, semalam.

Madius berkata, beberapa langkah digariskan untuk mencapai sasaran itu, khususnya usaha meningkatkan rizab margin bekalan tenaga yang kini pada tahap kritikal, di bawah paras 12 peratus.

“Kita memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus kapasiti rizab margin untuk mengelakkan catuan bekalan. Sebagai langkah interim, kita menyewa beberapa genset yang dipasang di beberapa lokasi strategik di Labuan, Sandakan dan Lahad Datu bagi meningkatkan kapasiti bekalan tenaga lebih 100 megawatt (MW).

“Kemudian sebuah inisiatif projek jangka pendek SESB diluluskan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) pada September lalu iaitu pemasangan penjana elektrik turbin gas berkapasiti 94MW di Kimanis yang dijangka siap dan beroperasi pada Jun 2025.

“Yang terbaharu, sebuah projek berteknologi hijau dan mesra alam dikenali sebagai Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100 MW di Lahad Datu ini yang dijangka siap pada Jun 2025,” katanya.

Beliau berkata, Sabah mungkin tidak berdepan isu kestabilan bekalan elektrik jika cadangan pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu berkapasiti 300 MW di Lahad Datu lebih 10 tahun lalu menjadi kenyataan.

Jelasnya, disebabkan menerima bantahan akibat kurang kefahaman sehingga akhirnya dibatalkan, ia menjadi satu kerugian besar hingga impaknya dirasakan ke hari ini.

“Mungkin masa ini sebenarnya kita sudah menjadi seperti jiran kita Sarawak sekiranya ia tidak dibatalkan dahulu. Untuk makluman, kira-kira 20 peratus penjanaan bekalan elektrik di Sarawak adalah menggunakan arang batu.

“Sekiranya pada masa itu projek tersebut diteruskan, sudah tentu. Isu-isu kekurangan rizab margin tidak berlaku dan bekalan elektrik
jauh lebih baik.

“Kita ambil iktibar perkara itu dan memastikan projek BESS di Lahad Datu berjalan lancar. Sesungguhnya, SESB bermatlamat untuk menurunkan nilai SAIDI kepada 100 minit menjelang tahun 2030.

“Semoga hasrat ini akan tercapai lebih awal sekali gus seluruh rakyat Sabah dan Labuan dapat menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dan boleh dipercayai,” katanya. – Info X