Sambutan Menggalakkan untuk Cawangan Baharu UPKO di DUN Gum-Gum

SANDAKAN: UPKO Libaran menerima sambutan positif daripada penduduk Kampung Sinar Harapan, Batu 24, Sandakan, dengan 54 permohonan keahlian baharu yang diterima dalam satu majlis hari ini.

Ketua Bahagian UPKO Libaran, Dr Peter Jr Naintin, menerima borang keahlian tersebut daripada penaja Cawangan UPKO Kg Sinar Harapan, Abdul Sani Ibrahim, bersama-sama penduduk kampung.

“Sejak penjenamaan semula UPKO pada Jun 2020, rakyat semakin yakin dengan kepimpinan dan hala tuju parti, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat di peringkat akar umbi,”katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa pembukaan cawangan baharu ini akan menjadi platform bagi penduduk menyuarakan keperluan mereka, termasuk dalam aspek pengurusan kampung, pendidikan, dan kebajikan masyarakat.

Untuk makluman, kampung Sinar Harapan terdiri daripada 45 buah rumah dengan lebih 400 penduduk, di mana majoritinya daripada komuniti Bugis.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Bahagian UPKO Libaran, Aspar Jainal, Penyelaras PDM Batu 25 Jalan Labuk, Koh Ming Shing serta penaja Cawangan UPKO Kg Sg Monyet, Haji Alias.