Sandakan PKP mulai Sabtu ini

Perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di daerah Sandakan, Sabah mulai 17 hingga 30 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, 46 kes baharu Covid-19 direkodkan, menjadikan keseluruhan 6,806 kes dilaporkan di Sandakan setakat ini.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan 78 kes juga direkodkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti ini.

“Pelaksanaan PKP ini antara lain untuk memastikan kadar jangkitan terkawal dan tidak menular dengan pantas ke kawasan lain dalam daerah mahupun ke daerah lain,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau berkata, PKP di Tawau, Sabah yang dijadualkan tamat esok, akan disambung sehingga 30 April ini kerana masih ada peningkatan kes aktif, daripada 124 kes kepada 729 kes dalam tempoh 14 hari.

PKPD

Ismail mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung di Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) dan Kuarters Kakitangan di Kuching, Sarawak mulai esok sehingga 29 April ini.

Katanya, 50 kes positif direkodkan di sekolah menengah itu dan terdapat penularan dalam kalangan penghuni sekolah dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Beliau berkata, 123 kes positif turut dilaporkan di PULAPOL hasil saringan ke atas 633 orang dan KKM mengesahkan berlaku penularan dalam kalangan pelatih serta penghuninya.

Lanjutan PKPD

Beliau berkata, PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok
Mas, Melaka akan dilanjutkan mulai Sabtu hingga 30 April ini kerana 191 daripada 1,710 orang yang disaring disahkan positif Covid-19.

“KKM mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan serta
menjangkakan pertambahan kes dari semasa ke semasa kerana masih ada saringan yang akan dilakukan dalam
kalangan kontak rapat.”

Tamat PKPD

Ismail berkata, PKPD di Kampung Baji di Sarikei, Perumahan Kilang Sungai Tenegang di Kinabatangan dan Sungai Rassau di Batang Igan, daerah Matu, Mukah akan tamat esok.

Manakala PKPD di Kampung Binyu Lama, Kuching dan Kampung Binyu Baru di Samarahan berakhir hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, 55 orang ditahan semalam atas kesalahan melanggar SOP.

Daripada jumlah itu, katanya, 54 orang dikompaun dan seorang lagi direman.

Antara kesalahan dilakukan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (17), tiada penjarakan fizikal (17), tidak memakai pelitup muka (12) dan lain-lain (sembilan).