KUCHING: Sarawak merancang untuk menjadikan bandar raya Kuching sebagai hab perjalanan alternatif bagi kaum Muslim di Borneo untuk mengerjakan umrah di Arab Saudi, kata Menteri Pelancongan, Seni, Budaya, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata ia merupakan langkah dan impian besar kerajaan negeri, yang pastinya menuntut usaha serta kerja keras pelbagai pihak bagi menjayakannya.
“Kita berharap dapat mewujudkan satu hab (buat jemaah umrah) bagi keperluan rantau ini, terutama di kepulauan Borneo, dan pulau-pulau Indonesia yang berhampiran. Saya anggap ia sebagai satu rahmat apabila dapat berkhidmat kepada ummah, bagi memenuhi kewajipan agama, di samping menawarkan perkhidmatan kepada mereka yang berhasrat untuk melakukan perjalanan bagi tujuan melancong atau kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan ATS Global Travel and Charters Sdn Bhd di sini.
Menerusi MoU ini, katanya ATS Global akan menyediakan penerbangan-penerbangan umrah dengan menjadikan Kuching sebagai laluan penerbangan alternatif, menerusi penerbangan Kuching ke Jeddah, dan Kuching ke Madinah, menggunakan syarikat penerbangan pilihan mereka.
Abdul Karim berkata MoU itu melakar satu lagi peristiwa penting dalam sejarah kemajuan pelancongan di Sarawak kerana ia akan membuka laluan bagi menjadikan Kuching sebagai hab perjalanan alternatif buat jemaah umrah di rantau ini.
“Syarikat itu turut menyediakan penerbangan pengantara dari bandar-bandar utama di Kalimantan, dan juga di kepulauan Jawa,” katanya.
Sementara itu pada majlis yang sama STB turut menandatangani MOU dengan Hainan Airlines of China bagi mengadakan penerbangan terus antara bandar raya Kuching dan Haikou, ibu negeri Hainan.
Abdul Karim berkata perbincangan mengenai penerbangan Hainan berhubung cadangan mendapatkan kelulusan slot pendaratan daripada pihak berkuasa penerbangan awam di Malaysia dan China; dan mereka merancang untuk memulakan penerbangan Haikou-Kuching-Haikou menjelang Mac 2020.
“Cadangan itu turut melibatkan operasi dua hingga tiga penerbangan setiap minggu menggunakan pesawat B737-800 dengan 164 tempat duduk, termasuk lapan tempat duduk kelas perniagaan,” tambahnya.-– BERNAMA

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ