Sarjana Turki Mustafa Akyol menjawab kritikan mengenai kelayakannya apabila beliau mengeluarkan pandangan yang bercanggah dengan seorang mufti mengenai penggunaan ungkapan “rest in peace” (semoga bersemadi dengan tenang).
Akyol berkata, hujah agamanya adalah berdasarkan pandangan dalam tradisi Islam.
“Saya bukan mufti, dan tidak mengaku sebagai mufti,” katanya.
“Tetapi saya telah mengkaji isu-isu kontemporari dalam Islam, dan menulis mengenainya menggunakan sumber tradisional dan akademik selama hampir 30 tahun,” katanya kepada FMT.
Beberapa pengkritiknya meremehkannya sebagai seorang ahli akademik dan pengarang, memberi bayangan bahawa beliau tidak berada dalam kedudukan untuk mencabar pandangan mufti.
Akyol ialah felo kanan dengan badan pemikir libertarian yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Institut Kemakmuran dan Kebebasan Global Cato.
Beliau menyanggah pandangan Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah, yang minggu lepas berkata, umat Islam dilarang mengungkapkan “rest in peace”. Luqman berpendapat, orang Islam tidak dibenarkan mendoakan keampunan bagi orang bukan Islam seperti yang diriwayatkan dalam beberapa hadis.
Namun, Akyol tidak bersetuju, dan untuk menyokong hujahnya, beliau memetik dua ayat al-Quran yang menjanjikan keselamatan kepada orang Yahudi dan Kristian, selain umat Islam.
Beliau menghormati mufti atas ilmu dan sikap muhibah mereka, namun katanya, tiada mufti yang boleh memberikan kata putus mengenai Islam dalam mana-mana isu. Inilah sebabnya terdapat banyak fatwa berbeza mengenai pelbagai perkara, katanya.
Sebagai contoh, beliau memetik perbezaan pandangan ulama tentang perkataan “Islam” seperti yang digunakan dalam ayat al-Quran “Barang siapa yang mencari agama selain Islam, tidak akan diterima (agama itu) daripadanya”.
Katanya, “Islam” dalam ayat itu boleh hanya bermakna penyerahan diri kepada Tuhan, seperti yang dikemukakan oleh beberapa pentafsir terawal. Seorang pentafsir kemudiannya memahami “Islam” bermaksud “pendekatan aktif di pihak individu” terhadap Tuhan. Ia tidak dimaksudkan sebagai rujukan berkumpulan, kata Akyol.
Hanya kemudiannya ulama mula mentakrifkan perkataan itu sebagai “jalan sejarah Muhammad yang khusus”. Akyol berkata, ramai orang di Malaysia nampaknya hanya mengetahui pandangan yang agak lewat ini yang dikemukakan oleh Ibn Kathir, tetapi bukan alternatifnya.
Beliau berkata, pandangan liberal mengenai Islam yang dianjurkannya adalah tidak boleh ada paksaan dalam amalan atau kepercayaan agama, berdasarkan anjuran al-Quran bahawa “tiada paksaan dalam beragama”.
Beliau berkata, terdapat ayat-ayat lain yang juga menyentuh tentang tiada paksaan, tetapi kajian terhadap fiqh tradisional Islam mendedahkan bahawa ayat-ayat tersebut telah “dimansuhkan” oleh ayat-ayat tentang peperangan, atau dihadkan oleh hadis tertentu, termasuk yang menyokong pembunuhan golongan murtad.
Beliau berkata, pemansuhan seperti itu sangat boleh diperdebatkan, dan hadis dengan perawi tunggal boleh dipersoalkan kerana kemungkinan kesilapan manusia dalam penyampaian sentiasa wujud.
“Tiada apa-apa yang menjadikan pandangan yang memaksa dalam Islam lebih ‘warak’, atau mana-mana pandangan ‘liberal’ saya lebih sekular. Kedua-duanya ialah pandangan agama,” katanya.
Dapatkah golongan monoteis bukan Islam diselamatkan?
Akyol berkata, idea bahawa orang Yahudi dan Kristian boleh diselamatkan di akhirat tanpa memeluk Islam ialah suatu pandangan yang telah dipertahankan oleh ulama terkemuka Islam sepanjang abad lalu, termasuk Musa Jarullah Bigiev, Rashid Rida, Süleyman Ateş, Sayyid Hosen Nasr dan Fazlur Rahman.
Malah Direktorat Hal Ehwal Agama Turki, badan setaraf dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), menyebutnya sebagai “tafsiran alternatif” dalam ensiklopedia Islamnya.
Akyol berkata, sekalipun dalam tafsiran arus perdana, Imam al-Ghazali berhujah bahawa orang bukan Islam boleh dimaafkan oleh Tuhan jika mereka hanya mendengar perkara negatif tentang Nabi Muhammad.
Dan hari ini, terdapat beberapa sarjana konservatif yang berpendapat, ini mungkin terguna pakai untuk orang bukan Islam yang mendengar tentang Islam dalam kalangan golongan Islamofobia, atau melalui tafsiran militan.
“Jadi, pandangan itu juga, membolehkan anda berfikir dengan kurang tegas berbanding berfikir semua orang yang tidak memeluk Islam akan dihumban ke neraka,” katanya.
More Stories
FPL UMS kongsi ilmu ternakan lebah kelulut dan khasiat madu kepada PPK Sandakan
UMS terima kunjungan penanda aras EKSA dari PHKK, UMPSA
MSN 2023 Peringkat Negeri Sabah diadakan pada 24 – 26 Ogos 2023 di UMS