SATU SINDIKET PENYELUDUPAN TUMPAS DI SABAH, DUA LAGI AKAN MENYUSUL: HAZANI

KOTA KINABALU, 25 Sept -- Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini. Beliau berkata sebanyak 171 laporan polis diterima sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Sabah. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

LABUAN: Polis Sabah telah mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga sindiket yang menjalankan aktiviti penyeludupan pelbagai barang antara pulau bebas cukai di sini dan tanah besar di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata satu daripada sindiket itu telah dilumpuhkan, dan dua dijangka akan ditumpaskan tidak lama lagi.

Beliau berkata sindiket penyeludupan di Labuan biasanya dilihat berkembang sedikit demi sedikit, sebelum ia menjadi isu serius yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.

“Penyeludupan biasanya melibatkan barang-barang seperti rokok, pelbagai jenis minuman beralkohol serta kepak ayam dari pulau bebas cukai di sini ke tanah besar. Ibu Pejabat Polis Kepayan telah mengenal pasti tiga sindiket penyeludupan, satu daripadanya telah ditumpaskan minggu lepas,” katanya dalam persidangan media di sini.

Menurutnya peraturan baharu yang menyaksikan semua jenis rokok dikenakan cukai di pulau atau zon bebas cukai itu berkuat kuasa 1 Jan akan menyekat kegiatan penyeludupan rokok, namun ia tidak menangani isu penyeludupan minuman beralkohol ke tanah besar di Sabah, Sarawak dan Brunei, yang perlu diberi perhatian.