Sebuah syarikat pemerolehan kembali buangan terjadual dikenakan denda RM25,000 selepas didapati menjalankan aktiviti pembinaan loji pulih guna (luar tapak) buangan terjadual tanpa kelulusan.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah Amirul Aripin berkata, syarikat terbabit sepatutnya mendapat kelulusan laporan penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA) daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.
Katanya, siasatan penguatkuasaan JAS pada 2 Oktober 2019 mendapati syarikat berkenaan mula membina loji terbabit tanpa kelulusan EIA.
“Syarikat itu menerima hukuman denda terbabit di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu baru-baru ini selepas wakil syarikat yang juga pengarah syarikat itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan kepada syarikatnya.
“Pertuduhan dijalankan di bawah Seksyen 34A(6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).
“Terdahulu Pegawai Pendakwa JAS Negeri Sabah memohon kepada pihak mahkamah supaya memberikan hukuman berat kepada syarikat berkenaan berdasarkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan melibatkan kepentingan awam,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau turut meminta orang awam supaya melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di negeri ini.
Katanya, orang awam boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my atau melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. – Utusan Borneo

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ