Saya masih Pengerusi PKR Sabah yang sah – Sangkar Rasam

KOTA KINABALU: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam menegaskan beliau masih memegang jawatan itu secara sah walaupun ada desakan meminta beliau meletakkan jawatan.

Beliau berkata, kedudukan jawatannya kekal mengikut perlembagaan parti dan ia menguatkan dirinya untuk meneruskan kepemimpinan PKR Sabah yang diketuainya sejak 2022.

Katanya, apa yang berlaku dalam PKR Sabah ketika ini memang diketahui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Presiden PKR, namun tiada sebarang perubahan dilakukan dalam kepemimpinan PKR Sabah.

“Saya masih pengerusi yang sah mengikut perlembagaan, apa yang penting ialah kerjasama untuk meneruskan perjuangan parti ini dan kita perlu berganding bahu dalam perjuangan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Presiden memangpun sudah tahu (pergolakan kepemimpinan PKR Sabah), lagipun sebenarnya tiada apa-apa pergolakan yang berlakupun, hanya di media sosial saja.”Jadi, tiada masalah, saya masih mengadakan mesyuarat parti dan walaupun dengan apa yang ditimbulkan, tiada apa-apa perubahan yang berlaku,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, malam ini.

Beliau yang baru balik selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Kuala Lumpur disambut sekumpulan penyokong yang mahu beliau terus dikekalkan sebagai Pengerusi PKR Sabah.

Minggu lalu, seramai 15 Ketua Cabang PKR di Sabah yang diketuai Ketua Cabang Kota Marudu, Sazalye Donol Abdullah dikatakan menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyatakan hilang kepercayaan terhadap Sangkar dan mahu beliau berundur secara terhormat.

Mengulas lanjut desakan kumpulan terbabit, Sangkar berkata beliau tidak tahu mengenai tuntutan itu dan menyifatkannya sebagai di luar kawalannya.

“Kalau kamu percaya tuntutan 15 Ketua Cabang itu, saya tidak tahu kerana itu belum pasti, masing-masing ada kepentingan sendiri. Tapi, bagi saya sama ada 15 orang atau 20 orang, kita perlu bergabung balik untuk parti terutama dengan PRN yang semakin dekat.

“Saya bagi tahu kita perlu bersatu dan berganding bahu, perselisihan dalam parti memang perkara biasa, tapi dalam perjuangan parti kita ada satu matlamat yang sama yang kita perlu capai bersama,” katanya.

Beliau turut menyifatkan apa yang berlaku dalam PKR Sabah ketika ini sebagai satu krisis keluarga yang perlu beliau tangani dengan baik selaku ketua dalam keluarga PKR Sabah.

“Dalam keluarga kita sendiripun boleh berlaku masalah, inikan pula keluarga PKR yang besar. Jadi, pandailah kita sebagai ketua menangani apa yang berlaku,” katanya.

Sangkar berkata, selepas ini, beliau akan menemui semua pemimpin PKR Sabah dan mengadakan mesyuarat, dengan menganggap semua pemimpin parti adalah kawan yang berjuang bersama untuk parti. – Info X