Saya tidak mengaku meramas dia bilang

Bekas pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR), Phillip Among mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Antara pertuduhan yang dibacakan terhadapnya adalah mencabul kehormatan membabitkan dua wanita termasuk seorang peserta Unduk Ngadau.

Ahli politik terbabit berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Philip membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Pertuduhan pertama, Philip dituduh menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita pada 17 April lalu, kira-kira jam 11 malam di ruang tamu Capsule Inn, Asia City, di sini.

Manakala empat lagi pertuduhan pula membabitkan kesalahan mencabul kehormatan iaitu terhadap seorang lagi wanita yang juga peserta Unduk Ngadau di empat lokasi berasingan pada 19 Mei lalu.

Mahkamah membenarkan Philip dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan bersama dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh pengurusan kes pra perbicaraan pada 14, 21 dan 22 Julai depan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Mohd Ali manakala tertuduh diwakili dua peguam Marcel Jude dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah.

Philip ditahan polis pada 3 Jun lalu bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Siasatan dibuat selepas salah seorang peserta Unduk Ngadau peringkat negeri mendakwa diraba ketika menaiki kenderaan milik tertuduh.

Perkara berkenaan turut mendapat pelbagai reaksi selepas tular di media sosial facebook dan aplikasi WhatsApp. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *