Sebarang cadangan serah Labuan kepada mana-mana pihak sepatutnya tidak berbangkit: JPM

KUALA LUMPUR: Sebarang cadangan untuk menyerahkan Wilayah Persekutuan Labuan kepada mana-mana pihak sepatutnya tidak berbangkit, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Menurutnya Wilayah Persekutuan tidak akan lengkap tanpa Labuan kerana setiap Wilayah Persekutuan mempunyai peranannya yang tersendiri dalam membentuk negara  Malaysia.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan berkongsi satu semangat, satu matlamat.

“Kebersamaan ini bukan hanya sekadar bualan, tetapi adalah tunjang kepada kejayaan Wilayah Persekutuan secara kolektif.

“Penggunaan tanda pagar atau hashtag #WilayahPersekutuanKita di media sosial juga menyuburkan penyatuan warga ketiga-tiga Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap soalan lisan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO) Tuaran di Persidangan Parlimen, baru-baru ini.

Zaliha berkata, sungguhpun demikian, atas faktor kedudukan Labuan yang hampir dengan Sabah diharapkan pembangunan pulau itu seiring dan saling bergantung antara satu sama lain, merangkumi aspek sosial, kerjasama ekonomi dan rangkaian perhubungan.

“Susulan lawatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim Labuan pada 7 Disember 2023, sebanyak 113 aktiviti dan program telah diatur oleh pelbagai kementerian dan jabatan sepanjang tahun 2024 bagi merancakkan ekonomi di pulau bebas cukai itu.

“Hasilnya, Labuan tidak lagi lesu. Jumlah penumpang yang mendarat di lapangan terbang dan juga kadar penghunian hotel di Labuan semakin meningkat. Kegiatan komersial juga menerima limpahan daripada peningkatan jumlah pengunjung,” jelas beliau.

Terdahulu Madius dalam soalan lisannya meminta Perdanan Menteri menyatakan sama ada Kerajaan Madani bercadang untuk mengembalikan Labuan kepada Kerajaan Sabah.

Ia memandangkan keperluan asas Labuan seperti bekalan air, bekalan elektrik dan penjana utama ekonomi Labuan iaitu Asian Supply Base (ASB) adalah di bawah tatakelola Kerajaan Sabah.

Mengulas mengenai perkara itu Zaliha memaklumkan, walaupun sumber air utama Labuan dibekalkan dari Sabah melalui Loji Rawatan Air Lawa Gadong, Beaufort, tetapi pengurusan bekalan air adalah di bawah kawal selia Bahagian Bekalan Air Labuan, yang merupakan sebuah jabatan Persekutuan.

“Manakala bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air, Kerajaan Persekutuan sedang menangani empat isu utama pembekalan, iaitu dari segi pengurangan gangguan bekalan, baik pulih aset usang, sistem penyimpanan dan sumber bekalan air mentah.

“Bagi menangani isu-isu tersebut, pada masa ini sebanyak 13 projek bekalan air dengan keseluruhan kos sebanyak RM366 juta sedang dan akan dilaksanakan dengan jumlah peruntukan tahun ini sebanyak RM55 juta.

“Usaha ini turut disokong oleh pengumuman di dalam Bajet 2024 oleh Perdana Menteri bagi menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta untuk menyelesaikan isu jangka pendek dan jangka panjang bekalan air di Labuan,” katanya.

Dari segi bekalan elektrik pula, Ahli Parlimen Sekijang itu memberitahu pada masa ini pengambilalihan kawal selia ke atas bekalan elektrik sedang dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun oleh Kerajaan Sabah, yang mana operasi bekalan elektrik di Labuan masih kekal disediakan oleh Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).

Walau bagaimanapun katanya, bagi mengukuhkan sistem bekalan elektrik di Labuan, Kerajaan Persekutuan memberi komitmen sepenuhnya terhadap cadangan pembinaan stesen janakuasa baharu oleh Petronas Gas Berhad yang mempunyai kapasiti penjanaan bekalan elektrik yang dianggarkan sehingga 135 Megawatt.

“Stesen janakuasa ini bertujuan untuk menyediakan bekalan yang lebih stabil dan mampu menampung keperluan jangka panjang untuk pembangunan Wilayah Persekutuan Labuan yang berterusan.

“Syarikat Asian Supply Base Sdn. Bhd. merupakan cabang pelaburan Kerajaan Sabah yang memainkan peranan penting dalam perkembangan kawasan perindustrian di Labuan.

“Hasrat syarikat tersebut untuk meluaskan kawasan operasi, berbanding keluasan sedia ada sebanyak 345 ekar, turut dilihat akan memberi impak positif kepada ruang pelaburan serta keperluan infrastruktur pada masa depan di Labuan.

“Pada ketika ini, sumber ekonomi utama Labuan dipacu oleh sektor perkhidmatan yang menyumbangkan 78.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Dalam sektor perkhidmatan di Labuan, terdapat beberapa pemain industri yang menjadi penyumbang, misalnya perkhidmatan kewangan melalui Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan, atau perkhidmatan industri berkaitan minyak dan gas seperti Petronas Methanol Sdn. Bhd. serta lain-lain syarikat multinasional dan antarabangsa yang berada di Wilayah Persekutuan Labuan termasuklah syarikat Asian Supply Base,” tambah Zaliha.

Untuk makluman katanya, semenjak Labuan menjadi Wilayah Persekutuan pada tahun 1984, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan pelan pembangunan bagi meningkatkan kemajuan Wilayah Persekutuan Labuan secara berkala.

“Sesuai dengan tema Sambutan 50 Tahun Wilayah Persekutuan “Wilayah MADANI, Rakyat Harmoni”, Kerajaan Persekutuan pada masa ini telah memberi tumpuan khusus kepada Wilayah Persekutuan Labuan melalui inisiatif pembangunan dengan memberi fokus untuk menyelesaikan isu infrastruktur dan utiliti terlebih dahulu,” jelasnya lagi.