SEBARANG PERHIMPUNAN MUNGKIN TIDAK DIGALAKKAN UNTUK TEMPOH ENAM BULAN HINGGA SETAHUN

KOTA KINABALU: Sebarang perhimpunan secara besar-besaran mungkin tidak digalakkan dalam tempoh enam bulan hingga setahun berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, dalam sidang medianya, hari ini, berkata pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang mengkaji perkara berkenaan.

Beliau berkata, praktis sosial dalam kalangan masyarakat dilihat mula berubah berbanding sebelum tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dijangka berakhir 14 April ini.

Katanya, ini kerana orang ramai sudah mula membiasakan diri dengan amalan penjarakkan sosial satu meter, kerap mencuci tangan dan tidak bersalam secara bersentuhan.

“Kita tak menggalakkan langsung perhimpunan secara besar-besaran,” katanya.

Terdahulu dalam sidang media sama, Noor Hisham memaklumkan tiada bazar Ramadan dibenarkan beroperasi selagi PKP dilaksanakan.

Bagaimanapun, sekiranya PKP ditamatkan, pihak Majlis Keselamatan Negara akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi menentukan perkara berkenaan.

“Kita akan sediakan SOP selepas PKP, maka soal berkaitan bazar Ramadan akan ditentukan selepas ini sama ada boleh dilaksanakan atau dilaksanakan dengan SOP-SOP tertentu.

“Cuma selagi PKP fasa 2 diteruskan atau tiba-tiba ada PKP lain, pasar Ramadan tidak dibenarkan,” katanya./BERITA SABAH