Sebelum buka sekolah, pelajar perlu kena kasi vaksin

Pelajar khususnya yang berumur 12 hingga 17 tahun perlu divaksin sebelum sesi persekolahan dijadual dibuka pada 1 September ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun.

Beliau berkata saranan itu sejajar dengan peningkatan jumlah kes dan penularan Covid-19 ketika ini, yang tidak mengenal mangsa termasuk kanak-kanak dan pelajar sekolah, justeru beliau berharap pihak berwajib dapat melaksanakan proses vaksinasi tersebut secepat mungkin.

“Mereka tidak terkecuali daripada Covid-19. Harap selepas selesai golongan dewasa mendapat vaksin, giliran kanak-kanak pula khasnya berumur 12 hingga 17 tahun. Saya harap perkara ini akan diputuskan dan dilaksanakan Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) secara berperingkat, mengikut nasihat pakar.

“Harus kita ingat, kanak-kanak dalam kumpulan ini masih bersekolah. Jadi diharap mereka dapat diberi vaksin sebelum atau ketika sekolah dibuka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan,” katanya selepas melawat Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, kira-kira 45 kilometer dari Ipoh hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan, kerajaan akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dan remaja berumur 12 hingga 17 tahun mulai 15 September ini.

Menyentuh perkara sama, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, vaksinasi itu akan dimulakan mengikut keutamaan iaitu remaja yang mempunyai masalah kronik diikuti tanpa masalah perubatan dan berdasarkan penurunan umur.

Pada 17 Julai lepas, Kementerian Pendidikan membuat ketetapan bahawa, sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai 1 September ini.

Dalam pada itu, Rina berharap ibu hamil dengan kandungan 14 hingga 33 minggu, akan terus diberikan keutamaan untuk mendapatkan vaksin di mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara.

“Bukan sahaja ibu, tetapi suami dan ahli keluarga perlu memainkan peranan penting, kerana ini kebaikan untuk semua termasuk anak dalam kandungan. Saya difahamkan, hampir 60 peratus daripada 150,000 ibu hamil telah mendaftar dan mendapatkan vaksin,” katanya.

Mengenai program hari ini, beliau berkata pihak kementerian telah menyumbangkan RM494,400 kepada badan bukan kerajaan, Pertubuhan Restu Amal Jasa Malaysia dalam memastikan pelaksanaan Projek Rintis Penyumberan Luar (ASD) di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, berjaya direalisasikan.

Katanya program julung kali diadakan ini merupakan kerjasama strategik antara kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dalam memfokuskan strategi baharu serta perkongsian amalan terbaik bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan, khususnya membabitkan warga emas.

“Projek rintis ini di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di mana dari segi pengoperasian pihak kerajaan menyediakan fasiliti dari sudut infrastruktur, manakala dalam soal kakitangan, modul, penjagaan, operasi harian, pembangunan modal insan, ia diuruskan oleh NGO ini,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga berharap program yang akan dijalankan selama enam bulan bermula September depan itu, dapat meningkatkan kualiti dan perkhidmatan penjagaan terhadap 103 warga emas yang berada di institusi berkenaan.

“Kita akan lihat keberkesanan projek ini. Jika berjaya dan bertepatan dengan matlamat asal ASD diadakan, maka kita akan perluaskan di rumah seri kenangan ataupun di institusi lain di negara ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *