PETALING JAYA: Kesatuan guru menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyiasat dan menyenarai hitam kontraktor yang gagal menyempurnakan projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah daif, susulan dilaporkan hanya satu perempat projek sedemikian berjaya dilaksanakan antara 2019 dan 2022.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak Kullin Djayang berkata, banyak sekolah di negeri itu masih dalam keadaan daif.
“Jika sebuah syarikat didapati tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya, tindakan tegas termasuk senarai hitam dan penarikan lesen patut diambil.
“Tindakan tegas sebegitu dapat menjadi pengajaran untuk syarikat lain, menghalang mereka mengulangi kesilapan serupa”
Beliau mengulas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini yang menyatakan hanya 25.6% atau 386 daripada 1,505 projek menaik taraf dan membangunkan semula sekolah di seluruh negara berjaya dilaksanakan antara 2019 dan 2022.
Mac lepas, pasukan petugas baharu dikenali sebagai Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) bersama KPM dilaporkan sedang memperincikan pemerkasaan pelaksanaan projek pembangunan bangunan sekolah daif.
Kullin menggesa STAR melawat tapak projek dengan kerap dan memastikan projek yang sedang berjalan seiring perancangan dan standard ditetapkan.
“Banyak projek diluluskan tetapi belum dimulakan. Kami letih dengan janji dan alasan diberikan kerajaan terdahulu,” katanya sambil menyuarakan harapan keadaan itu dapat dipulihkan pentadbiran semasa.
Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia Azizee Hasan membangkitkan kemungkinan berlaku ketirisan dalam pelaksanaan projek-projek, dan menggesa kerajaan melakukan audit menyeluruh.
Katanya, kerajaan-kerajaan sebelum ini secara konsisten memperuntukkan dana yang besar untuk membaiki bangunan sekolah daif, namun kemajuannya perlahan.
Dari 2019 hingga 2022, kerajaan memperuntukkan antara RM652 juta hingga RM783 juta untuk penyelenggaraan dan pembinaan semula bangunan sekolah daif.
“Segelintir sekolah (di Sarawak dan Sabah) masih mempunyai struktur kayu, bukan konkrit. Ada juga yang kerap berdepan gangguan bekalan air dan elektrik,”
Beliau berkata, pendidikan berkualiti tidak dapat dicapai sekiranya sekolah dinafikan kemudahan asas, memetik kemerosotan skor Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) tahun lepas
Skor Pisa menunjukkan pelajar Malaysia berusia 15 tahun mencatat skor 409 dalam matematik (turun daripada 440); 416 dalam sains (turun daripada 438 pada 2018); serta 388 dalam bacaan (turun daripada 415).
Azizee menggesa kerajaan menangani isu itu secara proaktif, sambil menambah bagi mempertingkat kualiti pendidikan, pelajar di seluruh negara mempunyai akses kepada kemudahan asas di sekolah.
More Stories
Tindakan Pantas Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran Pulihkan Jalan Bayaon Kiulu
Madius Meriahkan Hari Komuniti Sempena Hari Malaysia Taman Sri Rugading 2024
Pusat Khidmat Parlimen Tuaran, JAS serta pelbagai institusi dan agensi jayakan Sambutan Hari Pembersihan Sedunia