PENAMPANG: Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang juga Pengerusi Biro Kewarganegaraan UPKO, Datuk Donald Peter Mojuntin berkata cadangan Kerajaan Persekutuan untuk meminda Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian Sabah (CAP.123) yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Rakyat pada 19 November lalu harus dipandang dengan waspada oleh Kerajaan Sabah, khususnya yang berkaitan dengan pemansuhan seksyen 22 (2) dan seksyen 22 (3) Ordinan tersebut.
“Jika ini berlaku, ia akan menghilangkan kuasa makhamah melalui magistret kelas pertama untuk mendengar rayuan pemohon-pemohon yang lewat daftar kelahiran.
“Langkah ini diwujudkan sebagai jaminan bagi menghalangkan pemohon-pemohon yang tidak layak untuk mendapat sijil kelahiran.
“Langkah ini sangat penting di Sabah yang menghadapi cabaran dan masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sangat besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Donald, PATI terbabit ingin memperolehi kewarganegaraan Malaysia dan bersedia untuk menggunakan kaedah-kaedah yang tidak sah untuk mendapatkannya.
“Keinginan terdesak PATI-PATI ini telah membawa kepada pertumbuhan sindiket-sindiket yang menawarkan perkhidmatan mereka dengan bayaran yang tinggi,” tegasnya.
Donald berkata mengikut statistik terkini yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, daripada 3,742,200 orang penduduk Sabah pada tahun 2024, sebilangan besar iaitu 1,043,400 orang adalah bukan warganegara.
“Saya percaya sebahagian besar daripada angka 1,043,400 itu adalah pendatang tanpa izin.
“Seksyen 22 (2) dan (3) tidak patut dimansuhkan. Ia adalah sebagai pelindung atau “safeguard” bagi Sabah dengan memberi kuasa kepada makhamah untuk menentukan kesahihan pemohon-pemohon lewat daftar kelahiran.
“Tiada kelemahan sistem ini. Kenapa pula hendak dimansuhkan? Oleh itu, cadangan pindaan CAP.123 ini seharusnya dibantah dan ditolak,” tegasnya.
More Stories
Pembinaan semula jambatan Pekan Tuaran – Sg Damit disenaraikan dalam RP5 RMKe-12 dengan kos RM30 juta: Kementerian Ekonomi
‘DUN Sabah bubar Ogos 2025’
Jelajah UPKO Gelombang Pantai Timur Cawangan Baharu Kg Sg Beruang Libaran dibentuk, perjuangkan hak rakyat di akar umbi