SEKTOR PEMBINAAN DAN PENYELENGGARAAN, PERHUTANAN DIBENAR BEROPERASI

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memutuskan untuk membenarkan sektor pembinaan dan penyelenggaraan serta sektor perhutanan beroperasi, bermula hari ini, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata aktiviti pembinaan yang dibenarkan beroperasi adalah membabitkan aktiviti seperti kerja-kerja pembinaan bangunan, infrastruktur, kemudahan awam, lanskap dan lain-lain sektor pembinaan.

“Aktiviti penyelenggaraan yang dibenarkan beroperasi adalah meliputi aktiviti seperti pembaikan dan pemuliharaan infrastruktur, bangunan, kemudahan awam, lanskap, pemotongan rumput, loji, janakuasa, pembersihan (parit, longkang, bangunan, pembentungan, saluran paip air, serta pengairan dan saliran.

“Aktiviti berkaitan dengan rangkaian dan perkhidmatan sokongan kepada sektor pembinaan dan penyelenggaraan yang meliputi aktiviti kuari batu dan pasir, kilang simen dan klinker, pemotongan bukit dan penimbusan tanah, kedai hardware, pengangkutan bahan binaan dan sebagainya turut dibenarkan beroperasi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam kerajaan Sabah memutuskan untuk melaksanakan PKPB secara berperingkat, khususnya pembukaan sektor ekonomi di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga memutuskan bahawa kebenaran beroperasi sektor pembinaan dan penyelanggaran secara bersyarat yang diluluskan sebelum ini ditarik balik dan terbatal dengan sendirinya.

Shafie berkata, aktiviti perhutanan huluan (upstream) yang membabitkan peladangan hutan, restorasi hutan, silvikultur, pengeluaran dan pengangkutan hasil-hasil hutan dan lain-lain aktiviti perhutanan huluan(upstream) dibenarkan beroperasi.

“Aktiviti perhutanan hiliran (downstream) yang melibatkan kilang papan, kilang vineer, kilang papan lapis, kilang perabot, kilang moulding, finger joint dan kilang-kilang lain pemprosesan berasaskan kayu juga dibenarkan beroperasi.

“Tutut dibenarkan beroperasi rangkaian dan perkhidmatan sokongan terhadap aktiviti upstream dan downstream perhutanan seperti logistik pengangkutan darat dan laut, gudang, domestik retail serta import dan eksport,” katanya./http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *