Selepas beri peruntukan baiki jalan, Madius turut sertai gotong-royong bersama penduduk Kg. Sindurai

Madius bersama penduduk kg. Sindurai mencedok pasir simen.

TUARAN: Ahli parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, menyertai aktiviti gotong-royong bagi meneruskan proses pembaikan Kampung Sindurai, Tuaran, baru-baru ini.

Beliau bersama-sama berpenat lelah dengan para penduduk bagi memastikan pembaikan sehingga jalan itu siap sepenuhnya.

Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), kemudiannya turut memberi sumbangan makanan dan minuman kepada penduduk yang hadir gotong-royong.

Sementara itu, wakil penduduk Kampung Sindurai, Kanil Dayou ketika ditemui berkata, Madius telah memberi peruntukan membaiki jalan itu sejak Januari yang lalu, namun proses pembaikannya tertangguh beberapa kali akibat cuaca yang tidak mengizinkan.

Madius bersama penduduk Kg. Sindurai meratakan bancuhan simen.

“Kami sangat berterima kasih atas keprihatinan Madius bukan sahaja telah memberi peruntukan untuk pembaikan jalan ini, malah turut turun padang bersama-sama kami semua membaiki jalan ini.

“Terima kasih juga kerana beliau juga turut memberikan sumbangan makan minum untuk semua penduduk yang terlibat dalam gotong-royong. Beginilah pemimpin berjiwa rakyat yang perlu dicontohi pemimpin yang lain,” katanya.