Semakin menurun, kes Covid-19 ini hari bawah 10,000, di Sabah 767 kes

Kementerian Kesihatan melaporkan kes harian Covid-19 sebanyak 9,066 kes baharu.

Ini pertama kali kes direkodkan di bawah 10,000 sejak jumlah kes harian dilaporkan pada angka lima digit pada 13 Julai lalu, iaitu sebanyak 11,079.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 14,454 kes sembuh, menjadikan jumlah mereka yang pulih daripada Covid-19 adalah 2,100,565.

Beliau menambah bahawa jumlah jangkitan sekarang adalah 2,277,565.

Terdapat 835 pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 815 daripadanya disahkan positif Covid-19 dan 20 disyaki dijangkiti.

Sementara itu, 535 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, dengan 355 pesakit Covid-19 positif dan selebihnya 180 orang disyaki positif.

Sarawak mencatatkan jumlah kes tertinggi hari ini dengan 1,418.

Ini diikuti oleh Selangor (1,000), Johor (981), Terengganu (827), Kelantan (796), Sabah (767), Kedah (670), Perak (669), Pahang (630), Pulau Pinang (620), Melaka (206), Kuala Lumpur (201), Negeri Sembilan (191), Perlis (66), Putrajaya (24) dan Labuan (0).

Sementara itu, 9,054 jangkitan tempatan hari ini, terdiri daripada 8,485 rakyat Malaysia dan 569 warga asing, serta 12 kes yang diimport.

Hisham berkata, daripada jangkitan baru, hanya 1.8% adalah kategori 3, 4 dan 5 kes.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di negara berada pada 0.89, dengan Perlis mempunyai nilai R-naught tertinggi 1.05.

Manakala, nilai R-naught Putrajaya adalah 1.0 sementara negeri dan wilayah persekutuan lain berada di bawah 1.0 – dengan Labuan terendah iaitu 0.