Semalam 4 ribu lebih, ini hari kes naik sikit lagi jadi 5,419

Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 5,419 kes baharu Covid-19, dengan 101 angka korban dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata angka terbaharu itu menjadikan jumlah jangkitan setakat ini 667,876 kes.

Selangor sekali lagi mencatatkan jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 1,996 kes diikuti Sarawak (718), Kuala Lumpur (650), Negeri Sembilan (396) dan Johor (366).

Selain itu, Kedah (252), Kelantan (245), Sabah (230), Melaka (155), Labuan (138), Pulau Pinang (124), Perak (68), Terengganu (43), Pahang (32), Putrajaya (lima) dan Perlis (satu).

Daripada jumlah kes baharu itu, enam kes import dan baki 5,413 adalah penularan tempatan.

Katanya, terdapat 70,112 kes aktif, dengan 450 daripada 922 pesakit di unit rawatan rapi (ICU) memerlukan bantuan pernafasan.

Kes sembuh pula sebanyak 6,831 dengan jumlah kumulatif sebanyak 593,695 kes manakala jumlah keseluruhan kematian setakat ini 4,069.