Semua calon SPM yang sihat mesti datang ambil peperiksaan walaupun dalam kawasan PKPD

Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tetap perlu menduduki peperiksaan tersebut yang dijadualkan bermula Isnin ini.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata hanya calon yang disahkan positif COVID-19 atau kontak rapat kepada kes positif diberikan kelonggaran untuk tidak hadir ke pusat peperiksaan.

Bagaimanapun, beliau berkata calon tersebut hendaklah menyertakan bukti daripada doktor atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing yang menyatakan mereka positif COVID-19 atau kontak rapat yang perlu dikuarantin.

“Kalau mengikut garis panduan, calon yang sihat sahaja hadir, jadi di manapun calon berada, di kawasan PKP, PKPB (PKP Bersyarat) atau PKPD sekalipun, mereka boleh bergerak untuk mengambil peperiksaan asalkan mereka sihat.

“Kalau disahkan positif atau kontak rapat, dan mereka di bawah kuarantin dalam tempoh kuarantin itu, tidak boleh hadir ke pusat peperiksaan. Tetapi setelah tempoh (kuarantin) tersebut, maka boleh datang ke pusat peperiksaan untuk terus mengambil kertas yang masih berlangsung.

“Bagi kertas yang telah ketinggalan disebabkan dalam tempoh kuarantin, maka kementerian akan menjadualkan semula bagi (peperiksaan) kertas tersebut,” katanya dalam temu bual bersama Bernama, Utusan Malaysia dan The Star mengenai Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 2.0 di Kementerian Pendidikan (KPM) di sini hari ini.

Menurut data Kementerian Pendidikan, seramai 401,105 calon akan menduduki peperiksaan SPM di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara. Daripada jumlah calon itu, seramai 1,150 calon berdaftar akan menumpang di pusat peperiksaan lain.

Mengulas kemungkinan soalan peperiksaan bocor kepada calon yang akan dijadualkan semula, Habibah berkata isu itu tidak timbul memandangkan kementerian akan menyediakan set soalan yang lain dengan standard dan format yang sama.

Sehubungan itu, beliau berharap calon peperiksaan SPM dan setaraf telah bersedia memandangkan ia adalah peperiksaan penting untuk menyambung pelajaran atau memasuki bidang pekerjaan.