SEORANG MAUT, DUA CEDERA PARAH DALAM KEMALANGAN JALANRAYA DI TAWAU

Pasukan Bomba sedang menyelamatkan salah seorang mangsa kemalangan jalanraya di Jalan Kampung Indah-Merotai , Tawau pagi tadi.

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU: Seorang wanita terkorban dan dua lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sendiri di Jalan Kampung Indah- Merotai kira-kira 13 KM dari sini awal pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenalpasti sebagai Sunarti @ Jumiati Ambari, 49 tahun manakala Nur Nafifah Aliaa, 15, tahun , dan Saloma Taning, 54, mengalami kecederaan parah.

Sebuah jentera bomba dan jentera EMRS dengan enam anggota bomba diketuai oleh PBK II Roslie Suyut dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau telah respon ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan melalui MERS 999 pada jam 6.37 pagi.

Terdapat 3 orang mangsa perempuan terlibat. Dua orang mangsa mengalami kecederaan parah dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans untuk rawatan lanjut. 

Seorang mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan. Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjut. 

Pasukan Bomba kemudian menamatkan operasi pada jam 8.13 pagi.