TAWAU : Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melaksanakan projek IPD khas dengan meter prabayar untuk pembekalan elektrik kepada kawasan penempatan setinggan di daerah ini.
Projek IPD ini didapati amat berkesan setelah dilaksanakan di kawasan penempatan setinggan di Kampung Forest, Sandakan pada bulan Oktober 2023 sehingga kejadian gangguan bekalan elektrik, vandalisma dan kualiti voltan rendah di kawasan sekitar kini adalah minima.
Selain itu, pelaksanaan projek IPD di Kampung Forest, Sandakan juga membuktikan bahawa projek ini adalah ‘jawapan’ kepada isu penyambungan haram yang amat merugikan SESB kerana tidak dapat mengutip hasil penggunaan elektrik.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar berkata, pihaknya telahpun mengenalpasti beberapa kawasan setinggan yang sesuai untuk projek IPD khas ini termasuklah di Kampung Hidayat, Tawau.
Baru-baru ini, pihak SESB telahpun memulakan proses awal tinjauan bagi mendapatkan maklumat dan skop untuk melaksanakan projek ini.
Cadangan pelaksanaan projek ini kemudiannya akan diusulkan kepada pihak Suruhanjaya Tenaga Negeri Sabah (ECoS) bagi tujuan untuk mendapatkan lesen IPD dan kadar tarif jualan.
Sementara itu, cadangan pelaksanaan projek IPD ini telahpun dikongsikan dengan Ahli Parlimen Tawau Datuk Lo Su Fui semasa lawatannya ke Kampung Hidayat, Tawau bersama-sama dengan Pengerusi SESB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau pada Khamis lepas.
More Stories
Kebakaran dapur di Kedai Lama Papar hasil tindakan pantas Bomba
Labuan dikenal pasti sebagai hab global industri tuna – Zaliha
JANS digesa peka aduan gangguan bekalan, masalah tekanan air rendah