SESB tiada kuasa menaikkan dan meluluskan tarif elektrik: Madius

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) tidak mempunyai kuasa untuk menaikkan dan meluluskan tarif elektrik.

Pengerusi SESB, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, hal ehwal tarif elektrik di Sabah sebelum ini ditentukan oleh kerajaan persekutuan dan dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Saya melihat masih ramai yang keliru dengan perkara ini sehingga pelbagai pihak yang marah dengan SESB.

“Semasa Mesyuarat Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu juga turut memperlihatkan masih ramai wakil rakyat yang tidak faham tentang hal ini.

“Sebagai makluman, SESB berperanan sebagai sebuah syarikat utiliti yang berniaga membekalkan bekalan elektrik kepada pengguna.

“Hal-hal tarif dan lain-lain yang berkaitan adalah ditentukan oleh Jemaah Kabinet Persekutuan atas cadangan Suruhanjaya Tenaga (ST) , dan pihak SESB hanya melaksana segala yang telah diluluskan dengan dikawal selia dan dikuatkuasakan oleh ST,” kata Madius dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Untuk rekod, ST dalam satu kenyataan pada 26 Disember lalu memaklumkan pelarasan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024 di Sabah dilaksanakan di bawah mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Berimbang (ICPT).

ICPT merujuk kepada satu mekanisme yang diluluskan Kerajaan dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), yang membolehkan kos bahan api diselaraskan setiap enam bulan, berdasarkan turun naik harga global bahan api.

Melalui pelaksanaan ICPT, pengguna domestik (tarif DM) dengan penggunaan elektrik sebanyak 1,500 kilowatt-jam (kWj) dan ke bawah, tidak akan dikenakan sebarang surcaj.

Pengguna domestik (tarif DM) dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj akan dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj.

Manakala pengguna bukan domestik dikenakan surcaj pada kadar 7.21 sen/kWj.

Sementara itu, pengecualian surcaj ICPT dikekalkan kepada pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif CM1 dan ID1) yang terdiri daripada perusahaan mikro, kecil sederhana (PMKS), operator air dan pembetungan dalam kategori tarif voltan rendah (tarif CM1 dan ID1).

Walau bagaimanapun, menurut Madius pihak SESB pula dipersalahkan, sedangkan keputusan pelarasan tarif ICPT itu diluar bidang kuasa SESB.

“Selepas Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Bekalan Elektrik Sabah diluluskan oleh DUN hari ini (Rabu), maka kuasa menentukan hal-hal tarif elektrik kelak akan diluluskan oleh Jemaah Kabinet kerajaan Sabah atas cadangan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS),” jelasnya.

Berhubung pertanyaan mengenai kakitangan di pejabatnya, Madius memaklumkan ia bagi meningkatkan komunikasi SESB yang selama ini tidak sampai kepada pihak luar sehingga ramai pihak terkeliru tentang SESB.

“Masih ramai pihak yang kurang faham termasuk seperti perkara-perkara yang saya nyatakan tadi,” katanya.