Setuju kasi bahas dulu itu Ordinan Darurat hanya skill PM untuk kekal berkuasa, kata penganalisis

Kenyataan terbaharu Perdana Menteri berhubung pembatalan Ordinan Darurat lebih mencerminkan kesungguhan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin untuk kekal berkuasa, kata penganalisis.

Penganalisis dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata, kenyataan Muhyiddin hari ini bahawa ordinan berkenaan boleh dibahas dan diungkai di Parlimen “begitu samar” dan menunjukkan beliau sedang “mencuba sedaya upaya melebarkan sempadan perlembagaan untuk kekal berkuasa”.

Bercakap kepada FMT, Oh berkata, perlu difahami bahawa Perdana Menteri hanya menyebut usul bagi perbahasan dan pembatalan Ordinan Darurat akan dibawa ke persidangan Parlimen seterusnya, pada September ini.

Walaupun usul berkenaan dihantar, tiada jaminan ia akan dibentang dan dibahaskan atau melalui proses pengundian oleh Ahli Parlimen, kata beliau.

“Kenyataan (Muhyiddin) itu tidak menyebut sekiranya sesi Parlimen pada September 2021 ditangguh, dijadual semula atau dibatalkan. Adakah usul terbabit akan dibentang pada sesi persidangan Parlimen seterusnya, jika ada persidangan selepasnya,” katanya.

Penganalisis dari University of Nottingham Malaysia Bridget Welsh berkata, “tidak mengejutkan” Muhyiddin mengambil keputusan untuk membuat “u-turn” itu memandangkan penjelasan awalnya dianggap menderhaka terhadap Istana dan mencetus reaksi keras daripada rakyat dan ahli politik.

“Bagaimanapun kenyataan kali ini pun dibuat tanpa asas yang kuat. Tidak ada sesiapa yang mengambil tanggungjawab atas isu ini. Tidak ada sesiapa yang meletak jawatan,” kata Welsh.

Hari ini, Muhyiddin mengakui proses membatalkan Ordinan Darurat belum dimuktamadkan.

Dengan berakhirnya darurat pada 1 Ogos lalu, beliau berkata, soal pembatalan Ordinan Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak berbangkit.

Namun katanya, Ordinan Darurat akan dibawa ke Parlimen pada September untuk dibahas dan diungkaikan, sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, usul berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet, esok.