“Apa yang penting sekarang ialah isu Covid-19, ekonomi, sosial serta kesihatan mental rakyat yang terjejas terus sejak pandemik melanda,” demikian kata pengarah drama terkenal Shahrulezad ketika teraju negara masih menjadi tanda tanya.
Justeru, menurutnya, walau siapa pun perdana menteri bakal dilantik kelak, harapannya agar tokoh itu mendapat sokongan penuh oleh barisan kabinet dan pembangkang serta rakyat.
“Negara akan huru hara kalau pemimpin kita terus bertelagah sesama sendri hingga menghakis kepercayaan rakyat.
“Sudah tentu mesti akan ada yang tak puas hati, tapi saya harap kita ketepikan dulu rasa tak puas hati tu demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya hari ini.
Shahrulezad atau lebih mesra disapa Budak Ijat itu memuat naik perkongsian itu di media sosial miliknya beberapa jam selepas negara menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8 dan jawatan seluruh jemaah menteri dengan serta-merta.
Susulan itu, Muhyiddin turut memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kekhilafannya sepanjang mentadbir negara.
Pemilik nama penuh Shahrulezad Mohameddin, itu turut mengiringi hantaran itu dengan memuat naik keratan artikel berjudul “Semoga Tuhan merahmati Malaysia – Khairy sahkan anggota kabinet serah surat letak jawatan.”
Pengarah drama Nur itu turut berharap rakyat negara ini mendoakan yang terbaik untuk masa depan bersama.
Dia turut berharap agar tiada lagi kempen bendera hitam dilakukan selepas ini.
“Tiada lagi kempen bendera hitam selepas ni. Dah tak larat dah. Penat,” katanya mengakhiri bicara.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad