Sidang Khas DUN perlu diadakan untuk bahas perkara berkaitan Perjanjian Malaysia – Ewon

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menggesa agar sidang khas DUN diadakan bagi membahaskan perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963.

Menurut Ewon, sidang khas tersebut wajar diadakan bagi membolehkan semua ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan dan seterusnya membuat ketetapan yang berkaitan secara bersama.

“Pelaksanaan Perjanjian Malaysia sepatutnya dikaji semula setiap sepuluh tahun bermula tahun 1973, tetapi tidak dilaksanakan. Rakyat Sabah berhak tahu apa sebabnya ia tidak dilaksanakan. Adakah ianya disengajakan? Dan samada pihak Sabah pula membiarkan begitu sahaja?

“Justeru, sidang khas DUN ini boleh membahaskan antara lainnya akta-akta persekutuan yang dibuat sepanjang Proklamasi Darurat 1969 berkuatkuasa seperti Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang telah menyebabkan hasil sumber terbesar Sabah diambil oleh Kerajaan Persekutuan melalui Petronas.

“Selepas proklamasi darurat tersebut dibatalkan pada tahun 2011, saya berpendapat keabsahan Akta Kemajuan Petroleum dan akta-akta lain yang berkaitan kepentingan Sabah yang dibuat sepanjang tempoh proklamasi darurat tersebut sepatutnya dibahaskan semula.

“Sidang khas DUN ini juga boleh membuat ketetapan untuk menolak Akta Laut Wilayah 2012 dan menegaskan hak sempadan wilayah Sabah berdasarkan kepada Perintah Borneo Utara (Perubahan Sempadan) 1954.

“Sidang khas DUN ini juga boleh membuat ketetapan mendesak pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan dibuat semula di Parlimen bagi mengembalikan provisi asal Perlembagaan berkaitan status kewilayahan Sabah, Sarawak dan Semenanjung (Tanah Melayu). Dalam komposisi DUN hari ini, ADUN Lamag, Datuk Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri telah direkodkan tidak menyokong semasa pindaan tersebut dibentangkan di Parlimen pada tahun 2019. Justeru sidang khas DUN ini boleh memberi peluang kedua kepada beliau untuk memperbetulkan rekod beliau tersebut,” kata Ewon.

Beliau menyatakan demikian apabila diminta mengulas laporan media yang menyatakan syor Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jeffrey Kitingan yang mencadangkan agar pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan dibuat semula.

“Cadangan tersebut bukan sesuatu yang baharu. Pindaan tersebut sudah dibentangkan di Parlimen pada tahun 2019 tetapi tidak mendapat sokongan dua pertiga kerana Ahli-Ahli Parlimen GPS, PAS dan UMNO seperti Datuk Bung Moktar tidak mengundi menyokong pindaan tersebut. Inilah yang berlaku apabila kepentingan parti melebihi kepentingan rakyat ketika itu,” katanya.

Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan bahawa Dewan Undangan Negeri merupakan platform terbaik merungkai isu-isu yang berkaitan dengan pelaksanaan Perjanjian Malaysia kerana ianya tempat menentukan perkara berkaitan perundangan, bukannya pentadbiran semata-mata sepertimana yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri terdahulu dan diteruskan oleh kerajaan negeri hari ini.

“Bermacam-macam majlis dan jawatankuasa kerajaan dengan kerajaan (government to government) telah ditubuhkan tetapi rakyat terus mempersoalkan status kemajuan perbincangan sehingga kini. Kenapa kita tidak gunakan platform DUN untuk mempercepatkan proses pelaksanaan Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan?

“Selama ini, pemimpin-pemimpin Sabah menyuarakan desakan agar Kerajaan Persekutuan memberikan semula hasil di bawah Perkara 112 C & D Perlembagaan Persekutuan. Bagi saya, desakan terbaik yang kita boleh buat ialah dengan membuat ketetapan di sidang DUN dan kemudiannya membuat enakmen kita sendiri bagi memungut semula 40% hasil persekutuan daripada Sabah tersebut.

“Apabila ianya menjadi undang-undang Kerajaan Negeri, maka Kerajaan Persekutuan harus akur. Lagipun provisi ini sudah ada dalam Perlembagaan, kita hanya perlu perkukuhkannya dalam bentuk pewartaan enakmen dan kaedah-kaedah pemungutan hasil tersebut. Kita tidak harus dilihat bersuara semata-mata tetapi tidak mahu membuat ketetapan berkaitan perundangan,” kata Ewon.

Beliau juga menyatakan bahawa sidang khas DUN tersebut juga boleh membahaskan perkara-perkara berkaitan dengan disentralisasi urus tadbir seperti bidang kesihatan.

“Saya berpendapat, Kerajaan Negeri perlu memperkukuhkan bidang kuasanya terhadap mana-mana perkara di bawah Senarai Bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan seperti bidang kesihatan samada dengan memperkasakan ordinan sedia ada atau membuat enakmen baharu.

“Jika kita betul-betul mahu melaksanakan Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan, kita di pihak Sabah perlu menggunakan platform DUN kerana ketetapan dan enakmen yang kita wartakan akan kekal lebih lama berbanding keputusan eksekutif. Ini termasuk ketetapan samada perlu membawa ke mahkamah antarabangsa akibat kegagalan pelaksanaan Perjanjian ini selama ini. Cabang eksekutif tidak mungkin dapat membuat ketetapan seperti ini, tetapi cabang legislatif boleh,” kata Ewon. – Nabalu News

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *