Sindiket penyeludupan tumpas, RM8.8 juta nilai barang dirampas

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya menumpaskan sindiket terbabit pelbagai aktiviti jenayah dan penyeludupan barang-barang bersubsidi dengan tertangkapnya 33 individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan berkenaan.

Semua individu itu ditahan menerusi 20 serbuan yang dilaksanakan di beberapa daerah di negeri ini bermula pada 1 Februari sehingga semalam, dengan nilai rampasan termasuk cukai berjumlah RM8.8 juta.

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, pihaknya secara khususnya melaksanakan pelbagai pendekatan serta tindakan bagi membanteras kegiatan jenayah dan penyeludupan barang-barang bersubsidi.

Datuk Abdul Rani Alias.

Katanya, dalam usaha untuk membanteras dan menyekat aktiviti penyeludupan ini, PGA Sabah telah menjalankan Op Taring Eszzone, Op Kontraban, Op Bersepadu Khazanah dan Road Check Point (RCP) dan berjaya melaksanakan beberapa siri tangkapan dan rampasan.

“Jumlah keseluruhan hasil tangkapan bermula 1 Februari sehingga 14 Februari 2025, seramai 33 orang dengan pecahan tujuh lelaki warga Filipina, enam lagi lelaki warga Indonesia manakala 19 lelaki dan seorang wanita adalah warga tempatan.

“Dengan tertangkapnya semua suspek terbabit, pelbagai rampasan dilaksanakan antaranya diesel, petrol, minuman keras, minyak sawit mentah (CPO), dadah jenis syabu, rokok, gula peket, pelbagai barangan sejuk beku termasuk ayam dan daging serta makanan sejuk beku,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu katanya, rampasan turut membabit hasil laut yang disyaki ditangkap di luar kawasan yang ditetapkan.

“Nilai keseluruhan rampasan dalam operasi berkenaan termasuk cukai dianggarkan bernilai RM8,828,587.27.

“Hasil 20 serbuan ini juga berjaya memutuskan rangkaian sindiket pengedaran dan penyeludupan minyak diesel/petrol dan CPO serta penjualan ayam, daging sejuk beku tanpa pensijilan halal yang sah/permit import yang sah di kawasan pantai barat dan timur Sabah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihak polis menerusi PGA akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Orang ramai juga diminta supaya sentiasa menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kes penyeludupan untuk tindakan penguatkuasaan.

“Ia bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen aktiviti haram penyeludupan,” katanya. – Info X