RANAU: Mayat yang ditemui di puncak bukit dekat Kampung Paus, di sini, pada 13 Februari lalu bukan lelaki yang dilaporkan hilang sebelum ini.
Sebaliknya mayat yang hampir reput itu adalah individu lain yang belum dikenal pasti identitinya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, mayat terbabit ditemui oleh orang awam di puncak bukit jam 5 petang pada 13 Februari lalu.
“Mayat itu ditemui kira-kira 15 kilometer dari lokasi mangsa Mokthar Azrin Amat, 30, dilaporkan hilang ketika keluar memancing di Sungai Gayo Nagas Ponulagon, sejak 3 Februari lalu.
“Namun hasil pengecaman mangsa dibuat oleh ahli keluarga semalam, mendapati mayat itu bukanlah orang yang dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi pencarian yang dihentikan akan disambung semula hari ini.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan Mokthar Azrin dilaporkan hilang selepas keluar memancing di Sungai Gayo Nagas Ponulagon, Kampung Paus, sejak 3 Februari lalu.
Mokthar keluar memancing jam 10 pagi pada 3 Februari lalu dan pada 6 Februari lalu bapa mangsa ada menghubunginya dan dia memaklumkan akan balik pada 9 Februari.
Namun sehingga 10 Februari lalu mangsa masih belum pulang ke rumah menyebabkan keluarganya datang mencari di lokasi memancing.
Bagaimanapun hanya didapati motosikal mangsa berada di lokasi lalu mereka melakukan pencarian di sepanjang Sungai Gayo Nagas Ponulagon namun gagal sebelum ahli keluarga meminta bantuan pihak berkuasa bagi pencarian mangsa, pada 13 Februari lalu.
Perjalanan ke lokasi agak sukar kerana melalui jalan belukar dan berbukit. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad