SK Mantob, Kiulu Terima Anugerah Seri Asrama Terbilang Peringkat Kebangsaan

Sekolah Kebangsaan (SK) Mantob, Kiulu yang terletak di kaki banjaran Crocker, dipilih sebagai pemenang Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) 2020 Peringkat Kebangsaan.

Bagaimanapun, susulan pandemik Covid-19, SK Mantob hanya menerima sijil penghargaan anugerah itu secara rasmi dari Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Mistirine Radin di Kota Kinabalu pada 29 Mac lepas.

Majlis penyampaian surat penghargaan ucapan tahniah pula disempurnakan oleh Noor Azlee Juma’ah wakil Kementerian Pendidikan Malaysia semasa sesi lawatan pematuhan SOP asrama di SK Mantob pada 22 April lepas.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Mohd. Haniff Mohd. Harith — P.P HEM (Asrama, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah), Mohd Hanim Mohd. Goss — Timbalan PPD Tuaran dan Stanley Misun — Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran — Sektor Pembangunan Murid.

Selain itu, SK Mantob turut meraih Anugerah Seri Asrama Terbilang Sekolah Rendah Peringkat Negeri Sabah.

Sementara itu, Guru Besar SK Mantob Romie Boliku berkata kejayaan itu adalah hasil berkat pengorbanan dan komitmen warga SK Mantob, terutama guru-guru dan staf pengurusan asrama.

“Begitu juga sokongan ibubapa dalam menjayakan apa juga program dan aktiviti dilaksanakan di asrama termasuk keceriaan, ia banyak membantu pihak sekolah merealisasikan kejayaan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Romie berkata anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada asrama-asrama yang mencapai standard pengurusan terbaik di peringkat kebangsaan. – Jesselton Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *