SM Kian Kok dapat sumbangan RM50,000

Sekolah Menengah Kian Kok telah menerima sumbangan berjumlah RM50,000 untuk tabung pembinaan bangunan serbaguna termasuk asrama yang sedang dilaksanakan.

Presiden Persatuan Heyuan Malaysia Datuk Jimmy Tham berkata, sumbangan itu diberikan oleh tiga orang anak perempuannya yang juga bekas pelajar sekolah berkenaan.

“Sumbangan itu adalah sebagai penghargaan daripada mereka terhadap sekolah itu yang telah membantu mereka mencapai kejayaan diperolehi pada hari ini.

“Pada mereka, tanpa sekolah berkenaan, kejayaan yang dikecapi hari ini tidak akan tercapai,” katanya ketika dalam satu Majlis Penyampaian sumbangan itu di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, kejayaan yang dikecapi kini membolehkan mereka mempunyai kerjaya yang baik.

Jimmy yang juga Pengerusi Persatuan Hakka Ranau berkata, beliau mempunyai seramai enam orang anak perempuan dan lima daripada mereka pernah menuntut di Sekolah Menengah Kian Kok.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah SM Kian Kok Datuk Clement Yeh berkata, sekolah berkenaan sememangnya masih memerlukan sumbangan bagi menyiapkan pembinaan bangunan serbaguna yang setinggi lapan tingkat.

“Kini proses pembinaan bangunan berkenaan baru sampai tingkat tiga sahaja. Saya juga ingin berterima kasih diatas sumbangan ini,” katanya.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah anak-anak perempuan Jimmy iaitu Tham Cha Wui, Tham Pau Wui dan Tham Wui Wui serta ahli keluarga yang lain. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *