KOTA KINABALU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli terus unggul di persada sukan dengan meraih 68 pingat pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah (MSSD) Tuaran yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
Sekolah itu mengutip 38 emas, 16 perak dan 14 pingat gangsa, sekali gus mengetepikan 10 sekolah lain untuk muncul selaku juara keseluruhan.
Naib juara disandang SMK Tenghilan dengan 11 pingat emas, 10 perak dan 11 gangsa. Dengan kutipan 8 emas, 6 perak dan 2 gangsa, SM St. John Tuaran dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga.
Atlet SMK Tamparuli, Amanda Mousin muncul sebagai Olahragawati bagi kategori perempuan 15 tahun ke bawah setelah mengutip emas dalam acara larian 800 meter dan 1,500 meter.
Beliau turut mencipta rekod baharu bagi acara larian berhalangan 2,000 meter dengan catatan masa 9:30.1 saat sekali gus menambah koleksi pingat emas peribadi yang ketiga.
Anugerah Olahragawan bagi kategori lelaki 15 tahun ke bawah turut disandang oleh rakan sepasukannya, Arthur Gimbun apabila berjaya meraih emas dalam acara larian 800 meter, 1,500 meter dan 2,000 meter.
Bagaikan seekor singa kelaparan, atlet SMK Tamparuli langsung tidak memberi ruang kepada pasukan lain apabila turut menggondol sebuah lagi anugerah Olahragawan bagi kategori lelaki bawah 18 tahun.
Eljoe Gotuoh dinobatkan sebagai penerima anugerah tersebut selepas mempamerkan aksi cemerlang dengan mengutip tiga emas dalam acara pecut 100 meter, lompat jauh, dan acara lompat kijang.
Penerima anugerah Olahragawati untuk kategori perempuan bawah 18 tahun pula dimenangi atlet SMK Tenghilan, Elzie Junin.
Berlangsung selama empat hari, kejohanan itu diadakan di Kompleks Sukan, Sekolah Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.
More Stories
Seramai 650 pendatang asing tanpa izin dihantar pulang dari sandakan
Wanita cedera kereta terbabas ke dalam gaung
Dakwa warga China kerja tanpa permit, pengusaha pelancongan tempatan di Semporna lapor polis