SOKONG KENYATAAN EWON, TIADA KEPERLUAN WUJUD JPKKP

KOTA KINABALU: Pelbagai pihak menyokong kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick bahawa tiada keperluan mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Sabah.

Ketua GEM UPKO Bahagian Kota Belud Joel Deukin menyifatkan cadangan pengwujudan JPKKP di Sabah adalah suatu bentuk strategi ‘pecah dan perintah’, dan dilihat lebih bersifat sengaja memberi tekanan politik kepada kerajaan negeri berdasarkan keadaan arus politik persekutuan masakini.

“Cadangan ini bagaikan memperkecilkan kemampuan pimpinan kerajaan negeri terutama pemimpin yang dipertanggungjawabkan dalam skop pengurusan komuniti kampung.

“Sepatutnya melalui kerjasama G2G, persekutuan memperakui kemampuan kerajaan negeri dalam mentadbir negeri, lebih-lebih lagi berkaitan autonomi dimana hak untuk mentadbir negeri itu sendiri sudah lama diperjuangkan.

“Bagaimana persekutuan selama ini berjanji akan menyerahkan autonomi secara berperingkat kepada kerajaan negeri sedangkan dalam masa yang sama, bercadang untuk menubuhkan suatu jawatankuasa yang mempunyai fungsi sama dengan Majlis Pengurusan yang sudah dipersetujui dalam kabinet negeri,” katanya.

Joel

Joel turut mempersoalkan sama ada janji itu ikhlas atau sekadar retorik dan hanya bertujuan untuk ‘memusingkan kepala’ beberapa pemimpin sasaran mereka dalam meraih sokongan dalam kerajaan persekutuan.

“Jika benar cadangan penubuhan JPKKP diteruskan, maka ianya adalah satu langkah kebelakang dalam mencorak keutuhan kepimpinan serta contengan sumbang dalam perjuangan mengembalikan autonomi kepada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) Rowindy Lawrence turut menyokong kenyataan Datuk Ewon Benedick yang menyatakan badan pentadbiran kampung merupakan urusan Kerajaan Negeri Sabah dan sebarang cadangan pengwujudan badan pentadbiran persekutuan seperti JPKKP merupakan pencerobohan autonomi.

“Kerajaan Persekutuan harus menghormati kuasa autonomi kerajaan negeri Sabah termasuk dari segi pelantikan pentadbiran kampung,” katanya.

Sehubungan itu Rowindy berpendapat bahawa, kerajaan persekutuan tidak perlu melibatkan negeri Sabah dalam penjenamaan semula MPKK kepada JPKKP.

Rowindy

“Pengwujudan JPKKP di Sabah seolah-olah hanya bertujuan untuk mengukuhkan politik mereka di sini dan ia memperlihatkan bahawa mereka tidak menghormati kuasa autonomi kerajaan Sabah seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” tegasnya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *