SOOK: Daerah Sook yang kini berstatus daerah penuh menerima pelbagai projek pembangunan yang bakal mengubah landskap kemajuan daerah baharu itu.
Pada Majlis Pelancaran Naik Taraf daerah itu semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyenaraikan beberapa projek yang penting untuk rakyat di daerah ini dan sekitarnya.
Antara projek itu, katanya ialah pembinaan jalan raya berturap Jalan Sinaron, Sook ke Jalan Linayukan, Tongod sepanjang 40 kilometer membabitkan kos RM320 juta.
“Turut dilaksanakan ialah Jalan Rancangan Belia Tiulon, Sook sepanjang 22.85 kilometer bernilai RM127 juta.
“Dengan adanya jalan berturap ini, ia akan menjimatkan masa dan kos perjalanan selain mampu menjana pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.
Selain jalan raya, Hajiji berkata beberapa infrastruktur pendidikan turut dilaksanakan di daerah ini iaitu pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Ambual, SK Rancangan Belia Tiulon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dalit dan SMK Trusmadi.
Tidak ketinggalan, katanya projek menaik taraf klinik kesihatan serta projek Pembinaan Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Sabah Electricity yang sudah siap pada tahun lalu.
“Ini membabitkan Klinik Kesihatan Sook yang bernilai hampir RM1 juta serta Klinik Desa Karamatoi dan Klinik Desa Marapok yang masing-masing bernilai RM600,000.
“Seramai 120 penduduk di sini juga menerima manfaat Rumah Mesra SMJ dari 2022 hingga 2024 yang bernilai hampir RM9.6 juta di Sook.
“Pada tahun 2025 ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM6.4 juta untuk membina 80 buah lagi rumah SMJ bagi Sook”, katanya.
Hajiji berkata, banyak lagi pembangunan akan dibawa ke Sook pada masa akan datang untuk manfaat rakyat di daerah ini.
Katanya, ia termasuk pembinaan kompleks sukan, hospital daerah Sook, membina balai polis daerah dan menambah keluasan kawasan klinik kesihatan Sook.
“Setiap pembangunan yang dibawa adalah lambang kesungguhan kerajaan negeri hari ini untuk membela nasib rakyat dan membawa Sabah ke arah pembangunan yang lebih maju, tersusun dan saksama,” katanya.
Sempena majlis itu beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membina Dewan Terbuka Daerah Sook dan menaik taraf Bangunan Urusetia Daerah Sook.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Belia dan Sukan negeri yang juga ADUN Sook, Datuk Ellron Angin dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan selaku Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad