SOP Sabah kekal walaupun mulai besok PKP seluruh negara

Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digunapakai di Sabah akan diteruskan walaupun Perdana Menteri mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk seluruh negara bermula pada Rabu ini sehingga 7 Jun depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu sudah dibincangkan dan dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas Kerajaan Negeri memohon pengurusan COVID-19 yang diamalkan di Sabah sekarang diteruskan.

“Dalam mesyuarat MKN petang tadi (10 Mei 2021), saya telah memohon kepada Perdana Menteri agar Sabah meneruskan pengurusan COVID-19 seperti kaedah yang kita amalkan sekarang kerana ia terbukti berkesan.

”Permohonan saya telah dipersetujui Perdana Menteri dan MKN. Sehingga ada arahan baharu, saya andaikan Sabah masih berstatus PKPB atau kalau pun berstatus PKP, tetapi SOP yang digunakan hampir sama dengan SOP sekarang,” katanya dalam satu kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp di sini, semalam.

Dalam pada itu, Masidi menjelaskan terdapat satu kluster baharu dilaporkan di Sabah yang membabitkan lapan daerah.

Katanya, Kluster Kompleks Empat melibatkan Kota Kinabalu, Papar, Tuaran, Penampang, Putatan, Ranau, Kota Belud dan Sandakan.

“Kes indeks merupakan pegawai penguatkuasa, lelaki, 32, di Aras 4, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah yang disahkan positif COVID-19 hasil saringan rentas negeri (dari Kota Kinabalu ke Wilayah Persekutuan Labuan) di klinik swasta pada 05 Mei 2021.

“Susulan kes itu, saringan kontak rakan sekerja mendapati 14 kes positif di Kota Kinabalu dan tiga kes di Tuaran, sementara Kota Belud, Sandakan dan Papar masing-masing
dua kes,” katanya.

Menurutnya, turut mencatat satu kes positif COVID-19 masing-masing di Putatan, Ranau dan Penampang sekaligus menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 27 kes. 

Semantara itu, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada 10 Mei 2021 adalah sebanyak 96 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,953 kes. Satu kes kematian direkodkan di Lahad Datu.

Katanya, seramai 102 telah sembuh dari penyakit COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif 57,770 orang. Seramai 594 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 235 orang di hospital dan 359 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam. 

“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 34 orang dan 22 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Umas, Kalabakan bermula 12 Mei sehingga 25 Mei 2021 selaras dengan kuputusan Kerajaan Persekutuan. 

Katanya, Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di PPR Batu 2 Lrg Habib Abdul Rahman dan PPR Batu 8 Jalan Apas, Tawau pada 11 Mei 2021.

“Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kompleks Abedon (Bumiwealth, Kolopis & Tanaki), Kinabatangan, Sabah pada 11 Mei 2021,” katanya. – Utusan Borneo