SPRM perlu terus bongkar petualang ‘perompak’ di era pandemik – Anwar

KOTA KINABALU, 25 Mei – Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berhubung “usaha untuk membawa pulang setiap sen dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).”

Beliau yang juga presiden PKR turut menggesa SPRM supaya membongkar penyelewengan yang dilakukan ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

“Saya menggesa agar SPRM mengambil tindakan pantas mengenai isu ini kerana ia melibatkan sikap kita terhadap rasuah dan penyelewengan dana awam oleh penguasa perasuah.

“SPRM juga perlu terus membongkar dan bertindak ke atas petualang perompak dana rakyat tatkala pandemik menyerang sejak dua tahun lalu,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang disiarkan hari ini.

Tambahnya lagi, sikap tegas terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa seharusnya tidak dikompromi dalam membina masyarakat berintegriti.

“Sikap tegas kita terhadap rasuah dan salahguna kuasa adalah cerminan integriti masyarakat yang tinggi dan tidak harus ada kompromi sama sekali dalam hal melibatkan integriti,” katanya lagi.

Baru-baru ini Azam mendedahkan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ini ketika wabak Covid-19 melanda, terpalit dengan unsur rasuah.

Azam berkata suruhanjaya antirasuah itu telah membuka beberapa siasatan terhadap perolehan perkhidmatan perubatan; penyalahgunaan kuasa dalam mengalihkan bantuan-bantuan dan pakej rangsangan.

Jelasnya lagi, siasatan tersebut turut membabitkan penipuan yang berkaitan dengan peralatan perlindungan perubatan yang dipalsukan seperti pelitup muka, sarung tangan dan lain-lain iaitu dari segi kuantiti dan kualiti peralatan perubatan yang lebih rendah.

“Perbuatan itu menunjukkan ada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk membuat wang haram daripada kesakitan dan kemalangan orang ramai,” kata Azam.

Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat kes rasuah anggota penguatkuasaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).